suria

Liga Super: Irfan Bakti optimis

KUALA TERENGGANU: Pengendali pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) , Irfan Bakti Abu Salim optimis pasukannya berpeluang cerah untuk berada dalam kelompok terbaik Liga Super musim ini selepas menewaskan pasukan Kelantan dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Isnin malam.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Kelantan 2-0 semalam melonjakkan kedudukan pasukan TFC 1 ke tangga keempat daripada tangga keenam liga, manakala pasukan Kelantan secara automatik tersingkir ke Liga Premier musim hadapan.

"Kita berharap dapat mengutip tiga mata penuh untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor (29 Julai) meskipun 1-0 untuk meraih tempat kedua atau ketiga liga musim ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir, semalam.

Mengulas permainan semalam, jurulatih berusia 67 itu bagaimanapun sedikit kecewa dengan persembahan anak buahnya apabila menyifatkan mereka banyak melepaskan peluang menjaringkan gol, terutama sepakan penalti yang gagal disempurnakan kapten pasukan, Tchetche Kipre.

Katanya, bekalan gol yang banyak diperlukan pasukan itu dalam misi menyempurnakan sasaran pasukan untuk menduduki tangga kedua atau ketiga dalam saingan Liga Super ini.

TFC 1 juga bakal berdepan Selangor tanpa pemain dua import, Lee Andrew Tuck dan Chanceary Bin yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada perlawanan semalam.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Yusri Che Lah yang akur dengan nasib pasukan itu yang tersingkir ke Liga Premier musim hadapan, tidak menolak faktor pemain muda dan kurang pengalaman menyumbang kekalahan mereka pada TFC 1 pada perlawanan itu.

Rata-rata pemain pasukan itu yang berumur 22-23 tahun dilihat tidak mampu menguasai hingga babak akhir perlawaan kerana seakan ‘hanyut' ketika ditentang pasukan TFC 1.

“Mereka dilihat terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan hingga bolos dua gold dan gol kedua membunuh peluang Kelantan untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan ini.

“Walaupun ‘pace' mereka dilihat laju pada awalnya, tetapi seperti yang saya kata kurang kematangan dalam bermain menyebab mereka sukar memberi saingan kepada pasukan lawan… saya harap selepas ini mereka perlu lebih bermotivasi untuk musim akan datang,” katanya. -Bernama

Irfan Bakti, TFC1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mbappe tak pilih Messi

Artikel Lain