suria

“Marcote Mangsa Konflik Dalaman KFA”

Ginney bersama jurulatih Marcote (kiri) ketika melawat sesi latihan skuad Lang Merah baru-baru ini. Foto kredit: KFA

PETALING JAYA: Penaja utama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Puan Sri Ginney Chew tampil mendedahkan punca sebenar Ramon Marcote direhatkan daripada tugas utama pasukan Lang Merah.

Pengarah ECK Sdn Bhd itu memberitahu mStar Online, seperti penyokong-penyokog Hijau Kuning yang lain, beliau juga terkejut dan terkilan dengan keputusan KFA.

“Saya lagi sedih sebab saya yang minta presiden KFA (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) untuk bawa dia (Marcote) ke sini. Saya rasa macam dah musnahkan masa depan dia, kacau hidup dia yang lebih baik di Sepanyol.

“Sepatutnya dia diberi lebih masa sekurang-kurang habis separuh musim ini,” katanya.

Ginney,40, berkata beliau yakin Marcote hanya menjadi mangsa keadaan bagi menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Saya terkejut baru-baru ni ketika ada mesyuarat, ada seorang individu menuduh Marcote tidak ada Lesen A.

“Saya terkejut dengan pendedahannya itu. Setahu saya Marco mempunyai lesen profesional, PHD malah dia mempunyai kelayakan lebih daripada semua jurulatih di Malaysia,” katanya yang menganggap individu berkenaan tidak seharusnya  mencari alasan seperti itu untuk menyingkirkan Marcote.

“Saya tidak ada hak bersuara dalam KFA. Apa yang saya cakap, mereka (komuniti KFA) tidak ambil peduli.

“Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat, tidak sama langsung dengan keputusan dibuat selepas itu. Presiden kata nak bagi peluang, tetapi komuniti yang buat keputusan.

“Inilah yang membuatkan saya terkilan,” dedahnya lagi.

Menurut Ginney, jika bukan kerana negeri Kedah, beliau tidak mahu lagi melibatkan diri dengan pasukan yang penuh dengan konflik dalaman.

“Ramai penyokong yang minta saya bawa Ramon masuk balik tetapi dah tak ada cara. Saya dah rasa malu.

“Mengenai Marco, saya ada menghubunginya dan meminta dia memaklumkan apa sahaja keputusannya selepas ini.

“Saya sudah cuba membantunya, namun keputusan bukan di tangan saya,” tambahnya.

Pada Rabu, Marco dipecat selaku Ketua Jurulatih Kedah dan diberi tugas sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

Kedah kini berada di tangga ketujuh Liga Super selepas lima perlawanan dengan mengumpul enam mata. Mereka mencatat dua kemenangan dan tiga tewas.

Ramon Marcote, Ginney Chew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain