suria

Hamidin Calon Terbaik Presiden FAM - Khairy

DUNGUN: Menteri Belia dan Sukan Khairy  Jamaluddin menyifatkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon sesuai selaku pemimpin nombor satu bola sepak negara yang kini kosong ekoran peletakan  jawatan Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pada Ahad lepas.

Khairy berkata Hamidin adalah individu paling layak kerana menepati beberapa ciri yang diperlukan untuk memegang jawatan berkenaan dalam badan induk bola sepak negara itu.

"Saya  nampak beliau (Hamidin) layak dan berpengalaman serta mempunyai jaringan yang baik dalam dunia bola sepak. Ini secara peribadi, tetapi terpulang kepada anggota gabungan FAM termasuk persatuan bola sepak negeri untuk memilih.

"Presiden FAM dipilih melalui pemilihan. Presiden Persatuan Bola Sepak  Negeri juga layak dan  terpulang kepada anggota gabungan. Tetapi, untuk menjadi presiden FAM harus ada pengalaman di peringkat kebangsaan, negeri dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  merasmikan majlis meletak batu asas Projek Pembinaan Kompleks Velodrom Berbasikal Daerah Dungun di Kampung Balai Besar pada Khamis.

Selepas melepaskan jawatan secara rasmi sebagai Presiden FAM pada Ahad lepas, Tunku  Ismail berkata Hamidin sebagai individu paling layak menerajui FAM bagi menggantikan tempat baginda.Mengulas lanjut, Khairy berkata Hamidin juga mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor.

"Saya  sarankan FAM adakan pemilihan secepat mungkin kerana kita tidak mahu tempoh ketiadaan presiden itu dalam waktu yang lama. Mungkin yang ada sekarang boleh menjalankan tugas..tetapi saya harap soal kepimpinan sukan nombor satu di Malaysia ini dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, majlis  berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Ia turut diserikan dengan kehadiran dua pelumba basikal negara kelahiran Terengganu, Mohd  Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain