suria

Sabah Benam Terengganu II, UKM Gagal Cita Kejutan

Pemain Pasukan FELCRA FC Anselmo Arruda Da Silva (tengah) cuba menanduk bola dari Pasukan PDRM pada perlawanan Liga Perdana 2018 antara pasukan PDRM bertemu FELCRA FC di Stadium Shah Alam hari ini. Kedua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Sabah memulakan aksi pertama Liga Premier 2018 dengan berpesta gol apabila membenam Terengganu II 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Jumaat malam.

Anak buah Jelius Ating bermula garang apabila pemain import dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon menggegarkan jaring untuk gol pertama seawal minit keempat, sebelum Rawilson Batuil menambah dua gol pada minit ke-56 dan 78.

Penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos Lebron melengkapkan kemenangan bergaya skuad Sang Badak dengan jaringan keempat pada minit ke-90 untuk menyaksikan pasukan negeri di bawah bayu itu mengungguli tahkta liga selepas satu perlawanan.

Pasukan yang baru dinaikkan ‘pangkat' ke saingan Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mengalami nasib berbeza apabila skuad bimbingan Sulaiman Hussin itu gagal mengambil kesempatan selaku tuan rumah apabila tunduk 1-2 di tangan Felda United pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pemain import ‘The Fighters', Iain Ramsay dari Filipina membuka tirai jaringan pada minit ke-32 sebelum bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal menggandakan jaringan buat Felda United pada minit ke-67 manakala gol sagu hati UKM hadir pada lewat permainan menerusi Waheed Akanni.

Sementara itu, di Stadium Shah Alam, pendatang baharu, Felcra FC berjaya mengikat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-1.

Jaringan penyerang dari Romania, Petrisor Voinea pada minit ke-53 meletakkan ‘The Cops' mendahului 1-0, namun ketika kemenangan seakan berpihak kepada PDRM, Anselmo Arruda Da Silva menjadi penyelamat skuad ‘The Rivals' apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-89 untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, pasukan tuan rumah MIFA berjaya mengekang asakan bertali arus Johor Darul Ta'zim II (JDT II) untuk turut berkongsi satu mata setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1.

JDT II terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi bekas penyerang Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad, namun MIFA tidak cepat mengalah apabila pemain import dari Liberia, Kpah Sherman berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Pada aksi di Stadium Negeri, Petra Jaya, Sarawak, pasukan tuan rumah mencatat kemenangan tipis 1-0 menewaskan Kuantan FA hasil jaringan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-19.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC mengutip tiga mata penuh setelah menumpaskan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.- Bernama

Liga Premier

Artikel Sebelum

Liga Malaysia 2018 Buka Tirai

Artikel Berikut

Artikel Lain