suria

Dua Awang Import Lengkapkan TFC II

Gambar sekitar majlis menandatangani dua pemain import untuk TFC II pada Ahad. - Faceboook/ Terengganu Football Club

KUALA TERENGGANU: Kemasukan dua pemain import Andrew  Jean-Baptiste dan Sébastien Thurière dalam Terengganu Football Club II (TFC II) pada Ahad melengkapkan kuota empat orang pemain  import pasukan berkenaan.

Ketua Jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab berkata kemasukan dua pemain kebangsaan  berasal dari Haiti itu akan memantapkan lagi pasukan bimbingannya dalam meneruskan musim baharu Liga Perdana nanti.

"Kita akan memanfaatkan kemasukan Andrew dan Sébastien ke dalam pasukan dalam memastikan sasaran kita ke kelompok lima terbaik liga musim hadapan...itu harapan kita.

Walaupun berperanan sebagai pasukan pelapis, kita akan tetap bermain habis-habisan kerana dalam Liga Perdana musim hadapan juga ada pasukan pasukan yang bukan calang-calang seperti pasukan Sabah, Sarawak dan Felda United yang bakal menambah saingan dalam musim baru ini," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Ahad.

Sebelum ini, TFC II telah menandatangani kontrak selama satu musim dengan dua pemain import iaitu Bruno Junichi Suzuki Castanheira dari Brazil dan Akanni-Sunday Wasiu, pemain Nigeria dari UiTM FC.

Mustaffa turut mengulas tentang Challenge Cup yang bakal diperkenalkan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

"Setakat ini Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak menyasarkan kedudukan mana yang harus dicapai tapi sudah tentu pihak kami ingin yang terbaik.

Apa yang penting, kita harus pastikan sasaran kelompok lima terbaik dalam Liga Perdana 2018 tercapai kerana itu adalah kayu ukur pasukan pada musim hadapan," katanya.

Challenge Cup dicadangkan dengan tujuan  memastikan pasukan yang gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia dapat bertanding sepanjang musim dan memberi satu perkembangan positif kepada pasukan terlibat. - Bernama

TFC II

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain