suria

Sukan SEA 2019: MSN Sasar 93 Pingat Emas

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran awal 93 pingat emas mampu dicapai kontinjen negara pada edisi ke-30 Sukan SEA 2019 di Filipina.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin memaklumkan sasaran berkenaan dibuat berdasarkan statistik kutipan pingat yang berjaya diraih atlet negara dalam beberapa edisi Sukan SEA terdahulu termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang melabuhkan tirainya, Ogos lepas.

“Kita memang membuat sasaran awal sejak Program Kita Juara dimulakan pada 2015 supaya kita dapat mengetahui objektif program latihan yang dirangka oleh persatuan sukan kebangsaan.

“Proses yang sama akan kita buat untuk Sukan SEA 2019 dengan mengandaikan di antara 93-96 pingat emas boleh dimenangi atlet kita berdasarkan jangkaan awal sukan-sukan yang akan dipertandingkan nanti dan meletakkan kita di kelompok tiga negara terbaik pada 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat Program Penyediaan Atlet ke arah Temasya Sukan SEA 2019 kepada beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan pada Rabu.

Dalam pada itu, Jefri mendedahkan seramai 300 orang termasuk 210 atlet yang telah dipilih pada November lepas, bakal melalui tiga fasa pemilihan untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2019.

Fasa pertama bermula dari Februari hingga Disember 2018, disusuli fasa kedua dari Januari hingga Jun 2019 sebelum senarai akhir atlet diumumkan setelah berakhirnya fasa ketiga dari Julai hingga November 2019, jelasnya.

Jefri memaklumkan pemilihan atlet ke Sukan SEA dibuat berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan seperti merupakan pemenang pingat emas dan perak KL 2017, menduduki kelompok lima tempat terbaik pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2014, menduduki ranking keenam Asia dan ranking ke-10 dunia.

Malaysia meraih 145 pingat emas pada KL 2017, Ogos lepas yang merupakan pencapaian terbaik sejak penyertaan pada edisi sulung Sukan SEA yang dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) pada 1959 di Bangkok, Thailand.- Bernama

Sukan SEA, 2019, Filipina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain