suria

Jurulatih Dari Australia Ganti Zhuliang

Yang Zhuliang

KUALA LUMPUR: Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Australia menggantikan Yang Zhuliang, jurulatih dari  China yang kontraknya di bawah Program Podium tidak disambung oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen berkata penolong jurulatih, Zhang Yukun akan bertindak sebagai jurulatih sementara ketika menunggu ketibaan jurulatih baharu yang dijangka tiba di Malaysia pada Januari tahun depan.

“Saya tidak dapat memberi butiran mengenai jurulatih baharu kerana kita masih dalam perbincangan tetapi jurulatih baharu dijangka tiba di Malaysia pada Januari tahun depan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat program persiapan atlet Sukan SEA 2019 anjuran Majlis Sukan Negara,Rabu.

Chen berkata ASUM menghormati keputusan Institut Sukan Negara sambil menambah beliau telah bertemu dengan skuad terjun negara yang menerima keputusan ISN dengan hati terbuka.

“Kita tidak dapat menafikan sumbangan oleh Zhuliang yang membimbang atlet terjunhj negara sehingga ke pentas dunia tetapi kita mahu maju seterusnya, kita mahu menerapkan sains sukan ke dalam latihan penerjun negara tetapi beliau (Zhuliang) tidak berfikiran terbuka kepada teknik moden,” kata beliau.

Pengerusi ISN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dilaporkan berkata pihaknya memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Zhuliang di bawah Program Podium selepas beliau gagal untuk memanfaatkan kaedah sains sukan ke dalam latihan skuad kebangsaan.

Zhuliang adalah nama yang tidak asing di kalangan skuad kebangsaan kerana beliau telah membimbing skuad penerjun negara melakar banyak kejayaan di pentas dunia sejak tiba di negara ini pada 2001.

Beliau membimbing bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas meraih gelaran 10m platform pada Kejohanan Remaja Dunia 2004 di Brazil dan memutuskan untuk menerima tawaran kerja di Australia selepas membantu skuad kebangsaan muncul juara keseluruhan pada  Sukan SEA Manila 2005.

Beliau kembali menjadi jurulatih pasukan kebangsaan pada 2008 dan membawa kejayaan kepada pasukan kebangsaan termasuk membantu gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Jun Hoong yang meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary pada Julai.- Bernama

Yang Zhuliang, Zhang Yukun

Artikel Lain