suria

Kejohanan Dunia: Peluang Khairul Hafiz Masih Terbuka

KUALA LUMPUR:  Raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan masih berpeluang beraksi pada Kejohanan Olahraga Tertutup Dunia 2018 yang dijadualkan berlangsung di Arena Birmingham, England dari 1 hingga 4 Mac tahun depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dan 200m perlu melepasi had kelayakan ditetapkan pada Kejohanan Olahraga Tertutup Asia kelapan di Tehran, Iran pada Februari depan sekiranya berhasrat beraksi pada Kejohanan Dunia.

Beliau menjelaskan KOM memutuskan untuk memberikan tiket wildcard ke Kejohanan Dunia kepada  atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail memandangkan tarikh tutup penyertaan kejohanan adalah pada 2 Disember lepas.

“Kita menunggu kata putus daripada jurulatih Khairul Hafiz (Mohd  Poad Md Kassim), namun beliau tidak memberikan sebarang jawapan sehingga memaksa kita mencalonkan nama Muhammad Hakimi  kerana kesuntukan masa.

“Sekiranya Khairul Hafiz melepasi had kelayakan di Tehran nanti, maka kita akan membuat rayuan kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) supaya mempertimbangkan penyertaan beliau pada Kejohanan Dunia,” kata Karim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Khairul Hafiz yang kesal namanya digugurkan oleh KOM untuk ke Birmingham walaupun pelari pecut berkenaan pada asalnya dicalonkan oleh badan induk itu.

Mohd Poad sebelum ini mendakwa Khairul Hafiz tidak disenaraikan ke Birmingham kerana mahu memberi fokus kepada Kejohanan Pra Sukan Asia 2018 di Indonesia, Februari depan.

Dalam pada itu, Karim memaklumkan pihaknya sudah merangka program persediaan untuk skuad negara bagi menghadapi beberapa temasya sukan seperti Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau bagaimanapun memaklumkan program latihan luar negara skuad olahraga negara akan dimuktamadkan selepas KOM mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Karim ditemui pemberita selepas hadir pada taklimat Program Penyediaan Atlet ke arah Temasya Sukan SEA 2019 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin kepada beberapa wakil persatuan sukan kebangsaan pada Rabu. -Bernama

Khairul Hafiz Jantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain