suria

Kejayaan Gavin Wajar Jadi Inspirasi

KUALA LUMPUR: Kejayaan Gavin Kyle Green muncul sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017 diharap menjadi inspirasi kepada pemain remaja kebangsaan, kata Pengerusi Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau berkata kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan pemain nombor satu negara itu sepanjang mengharungi musim 2017 sehingga berjaya melakar beberapa kejayaan besar perlu dijadikan contoh terbaik kepada bakat muda di negara ini.

"Beliau (Gavin) mencipta kejayaan pada usia muda dan apa yang membanggakan ialah beliau mampu mengetepikan cabaran pemain Asia dan Eropah yang lain pada kejohanan tersebut.

"Bagi saya pencapaian itu luar biasa bagi seorang pemain golf negara kerana persaingan untuk mencapai kedudukan teratas dalam Jelajah Asia agak sukar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Jelajah PGM 2018 di TPC Kuala Lumpur pada Rabu.

Selain merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017, Gavin yang menghuni tangga ke-169 dalam ranking dunia turut dinobatkan Pemain Terbaik Pilihan Pemain Jelajah Asia 2017 selepas berakhirnya Indonesia Masters di Jakarta, Ahad lepas.

Lebih manis, Gavin, 23, turut meraih kategori pukulan paling jauh selepas mencatat purata 287 meter pukulan tee-off.Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PGM sepanjang tahun ini, Ahmad Sarji berkata beliau gembira melihat peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain muda pada Jelajah PGM tahun ini.

"Saya amat bangga atas kejayaan PGM pada tahun 2017 kerana kita dapat melahirkan pemain-pemain muda berbakat seperti Shahriffuddin Ariffin yang baru berusia 18 tahun tetapi telah merangkul gelaran Order of Merit Jelajah PGM.

"Ini merupakan satu rekod dan saya berharap beliau bersama-sama pemain muda yang lain dapat mengikuti jejak langkah pemain senior negara yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa," tambah beliau.

Pada masa sama, Ahmad Sarji berharap penganjuran 10 siri Kejohanan PGM Wanita yang menawarkan hadiah wang keseluruhan berjumlah RM350,000 dalam Kalendar Jelajah PGM 2018 dapat menarik lebih ramai penyertaan pemain golf wanita negara.

“Di negara Asean yang lain seperti Thailand dan Filipina, mereka mempunyai Jelajah Wanita sendiri oleh itu memang sengaja saya memutuskan untuk mengadakan siri kejohanan itu. Saya harap dengan adanya siri tersebut dan hadiah wang tunai yang lumayan, lebih ramai pemain wanita akan menyertainya,” kata beliau.- Bernama

Kyle Gavin Green

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain