suria

Marcote Mula Buka Langkah

Gambari fail Marcote pada tahun 2015 bersama skuad Kedah.

PETALING JAYA: Ramon Marcote sudah mula memanaskan 'badan' di Alor Setar, lokasi yang dianggap sebagai rumah keduanya.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu secara rasminya dilantik sebagai pengendali baharu pasukan Kedah bagi musim 2018 dengan kontrak selama setahun.

Marcote yang merupakan pencetus revolusi permainan 'tiki-taka' untuk skuad Hijau Kuning (2015) atau Helang Merah ini kembali  selepas hampir setahun meninggalkan skuad itu.

"Saya sangat gembira kerana saya kenal bandar ini. Saya lihat banyak keyakinan dengan kelab, penaja, kewangan dan juga pemain.

"Di sini rumah kedua saya. Juga gembira dengan pemain yang sebelum ini sememangnya rapat. Mereka juga nampak makin yakin.

"Apa yang paling penting kami mahu kemenangan yang pertama dahulu. Selepas itu kedua dan ketiga.

"Dan baharulah boleh tengok untuk Piala FA, Piala Malaysia. Kami akan cuba dan gembira bekerjasama.

"Semuanya kelihatan bagus setakat ini," ujarnya pada sidang media selepas menandatangani kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Marcote dilaporkan tiba di Alor Setar, Rabu lalu.

Marcote (dua kiri) bersama presiden KFA.

Dalam pada itu, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memberitahu, pilihan yang dibuat untuk melantik Marcote ini adalah persetujuan semua pihak termasuk penyokong setia Kedah.

"Selepas membuat tinjauan peminat, keputusan dipersetuju pihak pengurusan tertinggi untuk melantik Marcote bagi mengemudikan pasukan Kedah musim 2018.

"Bukan mudah untuk mendapatkannya.Tetapi kami menaruh keyakinan tinggi terhadapnya berdasarkan pengalaman di Eropah.

"Kami juga memberi kebebasan seratus peratus untuk Marcote memilih barisan pemain termasuk import," ujarnya.

Sebagai rekod, Marcote menyertai Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada Januari 2015 dan pernah memangku tugas sebagai jurulatih skuad itu ketika Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan lesen A di China.

Ketika itu, Marcote mengiringi pasukan Kedah ke saingan Piala Malaysia 2015 ke perlawanan akhir yang menyaksikan skuad Hijau Kuning tewas 0-2 kepada Selangor.

Selain itu, beliau pernah menggalas tugas sebagai seorang daripada jurulatih di kelab terkemuka Sepanyol, Altetico Madrid dan memiliki lesen profesional UEFA.

Malah beliau pernah menjadi ketua jurulatih skuad remaja Atletico Madrid yang dibarisi pemain hebat seperti  Sergio Aguero, Fernando Torres, David De Gea, Koke, Saul Niguez dan ramai lagi pemain berbakat.

Pada bulan lalu, penaja utama Kedah musim 2018, ECK mengambil langkah mendapatkan maklum balas dan mendengar kehendak penyokong mengenai pemilihan jurulatih baharu.

Pengarah ECK Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew memuat naik status untuk membawa Ramon Marcote sebagai jurulatih Kedah yang baharu untuk saingan musim depan.

Status tersebut mendapat maklum balas yang positif sebelum beliau berbincang lebih lanjut dengan KFA mengenai hasratnya itu.



Ramon Marcote, Kedah

Artikel Sebelum

Luke Shaw Mahu Harga Sendiri

Artikel Berikut

Vaan Gaal Cemuh Mourinho

Artikel Lain