suria

Bola Sepak: Pasukan Cacat Penglihatan Sasar Ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR:  Skuad bola sepak cacat penglihatan kebangsaan menyasarkan untuk  mengisi satu daripada empat slot automatik ke Piala Dunia di Sepanyol tahun depan, pada Kejohanan Bola Sepak Orang Buta Asia di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur bermula  Rabu hingga  17 Disember ini.

Skuad negara akan menjadikan kejohanan berkenaan sebagai medan terbaik untuk melakar sejarah layak buat kali pertama ke Piala Dunia sejak kejohanan bagi pemain cacat penglihatan itu dipertandingkan di Brazil pada 1998.Ketua jurulatih kebangsaan, M. Shalesh berkata anak buahnya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memburu tempat ke Madrid pada tahun depan.

“Kami sudah mempersiapkan  pasukan pada tahap terbaik untuk bersaing pada kejohanan ini. Kegagalan untuk meraih pingat emas pada Sukan Para Asean, September lepas akan ditebus.

“Pasukan kali ini lebih baik berbanding semasa Sukan Para Asean di mana ketika itu ramai pemain dibelenggu kecederaan,” katanya.

Untuk rekod, skuad negara hanya meraih pingat gangsa pada Sukan Para Asean setelah dikecewakan Laos pada peringkat separuh akhir.

Shalesh berkata prestasi semua pemain negara semakin meningkat hasil kerjasama pihaknya dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kekuatan mental dan fizikal pemain semakin bertambah dengan bantuan program yang dijalankan ISN dan MSN selepas kekecewaan pada Sukan Para Asean lepas,” katanya yang sudah bersama skuad kebangsaan sejak 2009.

Sebanyak empat slot ditawarkan bagi zon Asia di kejohanan berkenaan yang turut disertai pemenang pingat emas Sukan Para Asean 2017, Thailand.

Selain Malaysia dan Thailand, empat lagi negara yang akan merebut slot berkenaan ialah Iran, Jepun, China dan Korea Selatan.Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Iran yang menduduki ranking pertama di Asia dan Korea Selatan (ranking ketiga di Asia).- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain