suria

Salam Perpisahan Buat Penyokong Dan Pemain Kedah - TCH

"PEMAIN datang dan pergi, begitu juga jurulatih tetapi kecemerlangan pasukan perlu diteruskan untuk penyokong yang setia bersama Kedah."

Itu komen bekas Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang akhirnya dilepaskan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi memberi laluan kepadanya menjawat jawatan penolong jurulatih skuad Harimau Malaysia.

Kata-kata semangat itu ditinggalkan Cheng Hoe kepada pasukan dan penyokong skuad hijau kuning yang akan melayan kunjungan Terengganu dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam ini.

"Tidak ada pemain yang kekal selamanya bersama dan begitu juga jurulatih kerana apabila tiba masa untuk berpisah ia akan berlaku walaupun keadaan ini memang menyedihkan setelah bersama begitu lama.

"Untuk saya bukan sahaja sebagai ketua jurulatih malah saya telah beraksi bersama pasukan Kedah dan berjaya meraih kecemerlangan pada akhir tahun 80-an dan 90-an. Sudah pasti perpisahan ini dirasai.

"Tetapi demi negara dan juga menambah pengalaman diri, saya perlu menerima tugas sebagai penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya.

"Setelah tiga tahun bersama pemain Kedah, saya juga amat rapat dengan mereka dan berharap kejayaan yang diusahakan selama ini dapat dituai pada malam ini dan perlawanan seterusnya.

"Pemain perlu yakin pada kemampuan sendiri dan beraksi seperti yang telah mereka lakukan sejak awal musim ini bagi mencapai kejayaan, dan saya yakin Nidzam Adha Yusof mampu melakukan yang terbaik kerana dia juga sarat dengan pengalaman," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe selain itu turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pegawai pasukan khususnya pengurus Kedah, Datuk Jeffry Low Han Chow yang memberi peluang melatih skuad tersebut pada 2015.

"Tidak lupa juga ribuan peminat setia pasukan Kedah yang telah memberi sokongan kepada saya. Mereka adalah tulang belakang kepada kekuatan pasukan selama ini dan mereka juga akan kekal bersama pasukan ini.

"Saya berdoa dan berharap barisan pemain, pegawai pasukan dan juga ribuan peminat setia pasukan akan dapat menikmati kejayaan setelah memulakan usaha mereka secara ikhlas demi kejayaan pasukan sejak tiga tahun lalu," ujarnya.

Kedah, Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Nidzam Pangku Tugas TCH

Artikel Berikut

Artikel Lain