suria

KFA Kenal Pasti Tiga Calon Jurulatih Baharu

Cheng Hoe meninggalkan Kedah untuk bersama skuad kebangsaan.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengenal  pasti tiga calon jurulatih baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang akan meninggalkan pasukan itu bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashim berkata tiga nama terdiri daripada jurulatih  tempatan dan asing itu telah dicadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa KFA, baru-baru ini.

"Kita ingin pastikan jurulatih baharu ini serasi dan paling penting, kita ingin cari yang terbaik buat pasukan Kedah yang kini berada pada prestasi cemerlang. Kita mahu lihat keupayaan mereka dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan pasukan Kedah ke Ipoh, Perak bagi menghadapi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC, Jumaat.

Cheng Hoe menerima surat pelantikan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 5 April lalu, sebelum menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar, sehari selepas itu

Badrol Hisham berkata KFA juga sudah bersedia untuk melepaskan Cheng Hoe, namun beberapa perkara perlu diselesaikan antara KFA, Cheng Hoe dan FAM.

"KFA tidak ada halangan untuk dia (Cheng Hoe) berhijrah kerana itu kehendaknya untuk berkhidmat dengan skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe ketika ditemui berkata kesemua pemain berada dalam keadaan baik dan bersemangat untuk meraih kemenangan pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.

"Pemain telah melupakan kekecewaan pada perlawanan menentang T-Team sebelum ini apabila kalah 0-5 dan  lebih bersemangat untuk bermain dengan baik bagi meraih kemenangan.

"Semua pemain utama juga berada dalam keadaan baik cuma Liridon Krasniqi akan direhatkan esok kerana masih mengalami kecederaan," katanya.

Pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman 2 April lepas, Kedah berpesta gol membelasah PKNP 6-1.

KFA, Calon Jurulatih Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain