suria

Sukan SEA: Perubahan Jadual Pertandingan Diumumkan Minggu Ini

KUALA LUMPUR: Perubahan jadual pertandingan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang melibatkan beberapa acara sukan akan diumumkan minggu ini, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.

Beliau berkata perubahan itu dibuat bagi mengutamakan pihak media terutamanya stesen televisyen yang membuat siaran langsung sepanjang temasya tersebut dari 19-30 Ogos ini.

"MOM bersama Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) dan semua persatuan sukan yang terlibat telah bermesyuarat dan memuktamadkan perubahan jadual pertandingan dan ia melibatkan beberapa acara sukan.

"Pertukaran jadual ini satu perkara yang penting kerana kami mahu mengelakkan daripada berlakunya penindihan acara sukan yang akan memberikan masalah kepada pihak penyiaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah Sukan Bersama Pemimpin-pemimpin Badan Sukan Kebangsaan di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, di sini, Selasa. 

Menurut Beng Choo, pemindaan tarikh acara itu melibatkan bola sepak, terjun dan renang yang berkemungkinan jadual pertandingan sukan berkenaan diawalkan sehari.

"Bola sepak yang sebelum ini dijadual bermula pada 15 Ogos akan diawalkan sehari, manakala renang dan terjun kami akan adakan perbincangan lanjut bersama wakil persatuan untuk menetapkan waktu yang sesuai.

"Kami tidak mahu acara renang dan terjun diadakan serentak kerana kedua-duanya mempunyai tarikan tersendiri serta merupakan sukan yang menjanjikan aksi menarik" katanya.

Perubahan jadual pertandingan itu adalah berikutan penukaran tarikh penutup Sukan SEA yang diawalkan sehari bagi menghormati Hari Wukuf dan Malam Raya Haji yang jatuh pada 31 Ogos.

Beng Choo turut memberi jaminan perubahan jadual pertandingan itu tidak akan menjejaskan misi Malaysia menjadi juara keseluruhan pada temasya dwitahunan tersebut.

Beliau berkata mesyuarat permindaan tarikh itu juga tidak mendapat sebarang bantahan daripada persatuan sukan yang terlibat.

Artikel Berikut

Artikel Lain