suria

Chong Wei, Pandelela-Jun Hoong Terima Anugerah Olimpian

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan penerjun, Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong, yang masing-masing memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, dipilih sebagai penerima Anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM)-Coca Cola 2016.

Perkara itu diumumkan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama - Jawatankuasa Pemilihan Anugerah dan Jawatankuasa Eksekutif MOM, di Wisma MOM, di sini pada Rabu.

Ketika ditanya mengapa Chong Wei dipilih menerima anugerah itu meskipun pasangan beregu lelaki negara memberi lebih impak pada temasya sukan berkenaan, Tunku Imran berkata tidak semua atlet mampu mencapai kejayaan seperti diraih pemain perseorangan utama negara itu pada usianya yang kini mencecah 34 tahun.

"Kenapa Chong Wei? Ini kerana, beliau berjaya meraih pingat pada tiga temasya Olimpik berturut-turut dan pada usianya kini, dia masih mampu menyumbangkan pingat perak kepada negara.

"Tambahan pula, dia berjaya menewaskan juara dunia, Lin Dan pada separuh akhir (di Rio), dan saya boleh katakan dia adalah 'Usain Bolt Malaysia'," kata  Tunku Imran.

Bagaimanapun, tarikh majlis penganugerahan tersebut masih belum ditetapkan.

"Kami berharap majlis ini akan diadakan tidak lama lagi kerana kami masih menunggu tarikh daripada Yang di-Pertuan Agong untuk berkenan berangkat ke  Anugerah Olimpian MOM-Coca Cola 2016 itu," katanya.

Chong Wei dan Pandelela/Jun Heong (10m platform seirama wanita), masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000.

Sementara itu, Tunku Imran berkata tahun depan merupakan tahun yang sibuk bagi MOM.

"Penganjuran Sukan SEA di Kuala Lumpur, Sukan Belia Komanwel di Bahamas, Sukan Asia Musim Sejuk di Jepun, dan kami juga akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan.

"Bagi mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA, ia akan diadakan pada Mac, dengan senarai pertama atlet yang dipilih," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain