suria

Wallace Tan Kecewa Anak Buah Gagal Atasi Jepun

Pemain Malaysia Norsyafiq Sumantri mengasak pemain Jepun Koki Kataoka pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun SOJC 2016 di Stadium Hoki Taman Daya, Jumaat. fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Jurulatih skuad hoki remaja negara, Wallace Tan amat kecewa selepas anak buahnya gagal menewaskan Jepun pada Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini Jumaat.

Tan, bagaimanapun berkata pasukan bimbingannya itu tidak akan mudah menyerah kalah pada baki perlawanan dalam kejuaraan itu walaupun peluang Malaysia untuk mempertahankan kedudukan tempat ketiga pada edisi tahun lepas sudah berakhir.

"Kita akan cuba sedaya upaya untuk memenangi perlawanan menentang New Zealand esok (Sabtu)," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Malaysia gagal meraih kemenangan pertama selepas tewas 1-2 kepada Jepun pada aksi hari keempat kejohanan berkenaan, malam Jumaat.

Tan berkata walaupun kecewa beliau berpuas hati dengan prestasi yang  dipamerkan barisan pemain negara yang berusaha keras sepanjang saingan pada kejuaraan tersebut.

Sementara itu, kapten pasukan negara Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad berkata sudah pasti beliau dan rakan sepasukan kecewa dengan kegagalan malam ini.

"Mungkin kurang keserasian antara pemain dan banyak pemain terdiri daripada muka baharu menyebabkan kita gagal merebut peluang dan banyak melakukan kesilapan," katanya.

Muhammad Amirol Aideed juga menafikan dakwaan kurang persiapan serta kelemahan percaturan jurulatih sebagai punca pasukan negara gagal beraksi cemerlang pada kejohanan tersebut.

"Kegagalan ini bukan kesilapan jurulatih atau kurang persediaan, sebaliknya kelemahan individu dalam pasukan," katanya.

Malaysia dijadual menentang New Zealand dalam perlawanan pelengkap jadual, pada 8.30 malam Sabtu. -  BERNAMA


Wallace Tan, Malaysia, Jepun, SOJC

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Schmeichel Jalani Pembedahan Tangan

Artikel Lain