suria

Jurulatih Timor Leste Salahkan Pemain

Pemain Brunei Darussalam Adi Said (kiri) cuba menanduk bola dari penjaga Timor Leste Fernandes Aderito Raul pada saingan Piala AFC Solidarity Cup Malaysia 2016 di Stadium Sarawak, malam Rabu. fotoBERNAMA

KUCHING: Jurulatih Timor Leste, Fabio Joaquim menyalahkan pemainnya yang gagal memberi tumpuan pada babak kedua menyebabkan pasukan itu tewas 0-4 kepada Brunei Darussalam pada perlawanan pembukaan Piala Solidariti AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) di Stadium Sarawak malam Rabu.

"Saya tidak jangka kekalahan ini, pemain saya banyak melakukan kesilapan, terutama pada separuh masa kedua, dan selepas Brunei menjaringkan gol pertama dan tidak lama selepas itu seorang pemain saya dilayangkan kad merah, mereka terus hilang tumpuan.

"Kami mempunyai peluang pada separuh masa pertama, tapi gagal menjaringkan gol," kata jurulatih dari Brazil itu pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Joaquim berkata beliau dan pemain perlu bertanggungjawab atas kekalahan itu, dan menggesa pasukan berkenaan agar tidak mengulangi kesilapan sama pada perlawanan berikutnya menentang Nepal pada Sabtu.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Brunei atas kemenangan itu.

Joaquim berkata beliau mungkin akan melakukan perubahan kepada kesebelasan pemain apabila menentang Nepal, kerana seorang daripadanya dilayangkan kad merah, dan seorang lagi tercedera.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Kwon Oh Son berkata beliau gembira dengan keputusan itu dan memberi kredit kepada pemainnya atas kemenangan besar itu.

Beliau berkata pemainnya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang basah selepas hujan lebat sebelum perlawanan itu.

"Kami telah bersedia dengan perlawanan ini, dan kemenangan malam ini (malam tadi) akan meningkatkan keyakinan pemain," katanya.

Dengan lima hari rehat sebelum perlawanan seterusnya bertemu Nepal pada 8 November, Kwon berkata beliau akan mengambil kesempatan untuk menganalisis dan menyediakan pasukan untuk cabaran seterusnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain