suria

Terserah Kepada FAS - Gunalan

K.Gunalan.

PETALING JAYA: Pemangku pengendali Selangor, K Gunalan menyerahkan masa depannya bersama skuad Red Giants kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Gunalan yang masih mempunyai kontrak setahun bersama FAS enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu mendahului pihak pengurusan FAS.

"Saya ada setahun lagi kontrak bersama Selangor. Apa-apa pun saya tak nak komen, kita tunggu sahajalah.

"Saya perlu hormati FAS yang akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk menentukan kontrak pemain dan juga hala tuju pasukan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Gunalan bagaimanapun berkata beliau enggan terlalu memikirkan mengenai statusnya bersama skuad Gergasi Merah pada ketika ini.

"Buat masa ini saya hanya mahu tenangkan diri. Saya tak kisah (jawatan)... jadi pembantu jurulatih pun saya okay," katanya.

Sebelum ini, Gunalan tanpa berselindung menyatakan hasrat untuk mengemudi pasukan Selangor secara tetap musim depan selepas berjaya memacu Selangor mara ke pentas final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Malah beliau juga mengharapkan sesuatu yang positif daripada pengurusan FAS untuk mempertimbangkan posisinya bersama pasukan musim depan.

Namun status Gunalan kini kembali menjadi teka-teki selepas anak buahnya gagal mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila tewas kepada Kedah 5-6 menerusi penentuan penalti pada aksi final Ahad lalu.

Gunalan mengambil alih tugas Zainal Abidin Hassan yang dipecat sebagai pengendali pasukan pada Ogos lalu.

FAS difahamkan cuba membawa pulang bekas pengendali musim lalu, Mehmet Durakovic yang dipecat sebaik menghadiahkan Piala Malaysia kepada penyokong setia Merah Kuning.



K.Gunalan, Selangor, FAS

Artikel Berikut

Artikel Lain