suria

KFA Garis Lima Komitmen Utama Setelah Juarai Piala Malaysia

Pemain dibawa menaiki bas khas bersama Piala Malaysia ke Stadium Darul Aman. foto G.C.TAN/The Star

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menggariskan lima komitmen utamanya setelah menjadi juara Piala Malaysia 2016 bagi membolehkan Kedah melangkah gagah setara dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Presidennya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, antara komitmen tersebut ialah peningkatan kemudahan di stadium selaras dengan prestasi dan imej pasukan serta pemilihan pemain import terbaik dan barisan jurulatih yang jitu untuk musim hadapan.

"Ketiga, lebih banyak program bersama penyokong setia dirangka supaya keakraban kita selaku keluarga besar muafakat Kedah dapat terbina, keempat, isu agihan dan jualan tiket dikemas kini pengurusan secara lebih profesional.

"Manakala kelima, memastikan kejuaraan yang disandang dipertahankan, malah sasaran kita ditahun hadapan ialah mengungguli Piala Sumbangsih dan Juara Liga Super," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Kepulangan Wira Lang Merah Juara Piala Malaysia 2016 di Stadium Darul Aman di sini hari ini yang dihadiri lebih 5,000 warga Kedah.

Terdahulu, ketibaan skuad Lang Merah disambut Ahmad Bashah sendiri di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim kira-kira 4.30 petang, sebelum para pemain dibawa menaiki bas khas bersama Piala Malaysia ke Stadium Darul Aman.

Dalam majlis itu Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah mengumumkan pemberian tiket percuma bagi perlawanan pertama di Stadium Darul Aman dalam Liga Super awal musim depan.

Sebelum ini, Ahmad Bashah mengumumkan imbuhan wang tunai berjumlah RM25,000 setiap seorang kepada pemain Kedah sekiranya berjaya menewaskan Selangor pada aksi final Piala Malaysia.

Beliau turut berjanji membawa skuad Lang Merah menyertai perlawanan persahabatan di luar negara sebagai bonus tambahan sekiranya menjulang trofi Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2008.

Kesemua janji-janji tersebut kata beliau, akan ditunaikan.

"Sedaya mungkin padang bola saya tidak akan politikkan. Saya memegang amanah dan teraju KFA bagi menentukan kebajikan pemain terbela.

"Keutamaan saya biarlah dana KFA mencukupi, kemenangan kita raih silih berganti, barisan jurulatih dan pengurusan di tahap terbaik demi memastikan Kedah melangkah gagah setara JDT," katanya. - BERNAMA

Kedah, Piala Malaysia 2016

Artikel Lain