suria

KFA Bincang Status Kontrak Jurulatih, Pemain Dalam Tempoh Terdekat

Cheng Hoe berjaya mengemudi Kedah menjulang trofi Piala Malaysia 2016.

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status kontrak jurulatih dan pemain skuad Lang Merah dalam masa terdekat.

Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar berkata pihak jawatankuasa KFA telah berbincang mengenai penyambungan kontrak bersama jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan pemain Kedah, sebelum ini.

"Kita telah bincang dari hati ke hati dengan Tan dan pemain-pemain, mereka semua berminat untuk terus menyambung kontrak bersama Kedah.

"Perbincangan secara rasmi akan diadakan dalam tempoh seminggu dua ini kerana ada perkara perlu dibincangkan lagi untuk persefahaman antara kedua-dua pihak," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, Selasa.

Terdahulu, kesemua pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Kedah tiba di LTSAH pada 4.25 petang dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Aminuddin berkata jawatankuasa KFA pada dasarnya berhasrat menyambung kontrak Tan yang berjaya membimbing pasukan Kedah dengan cemerlang pada musim ini.

"Kita memang mahu dia (Tan) sambung kontrak tetapi kita akan bincang lagi bagi memastikan persefahaman antara KFA dan Tan wujud," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata sebahagian besar pemain termasuk pemain import akan dikekalkan walaupun ada beberapa pemain import yang tidak menyerlah pada musim ini.

"Saya tahu ada pasukan lain yang cuba merisik pemain kita termasuklah Rizal Ghazali, tetapi pemain ada menyatakan hasrat untuk terus bermain dengan skuad Lang Merah.

"Pemain import yang kita akan kekalkan adalah Liridon Krasniqi manakala pemain import lain kita akan tengok walaupun mereka kurang menyerlah, tetapi mereka membantu melonjakkan pasukan Kedah," katanya.
KFA, kontrak

Artikel Berikut

Artikel Lain