suria

Dua Wakil Negara Mara Ke Undian Utama Cabaran Antarabangsa Indonesia

KUALA LUMPUR: Dua wakil Malaysia termasuk pasangan beregu mara ke undian utama Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Indonesia selepas melepasi lawan masing-masing di pusingan kelayakan pada Selasa.

Berlangsung di Gelora Universitas Semarang di Semarang, Lee Jun Hong menewaskan pemain tuan rumah, Agassi Bagus Yudistira Kitono 21-11, 21-6 dalam acara perseorangan lelaki, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Lee, bagaimanapun bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan pilihan utama Nguyen Tien Minh dari Vietnam pada pusingan pertama, Rabu.

Pasangan Aaron Chia-Wai Jun Wong pula mengesahkan tempat dalam undian utama acara beregu lelaki selepas menumpaskan gandingan Indonesia, Davin Faturahman-Yoga Sidik 21-10, 21-15.

Mereka akan menentang satu lagi pasangan negara Jian Yi Lee/Zhen Ting Lim pada pusingan pembukaan, Rabu.

Malaysia turut membariskan beberapa pemain dalam tiga lagi kategori - perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran - pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$20,000 (RM83,565) itu. - BERNAMA

Artikel Lain