suria

Moto3: Super KIP Raih Kedudukan Ke-8

SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menamatkan saingan akhir Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di kedudukan kelapan sekaligus berjaya mengumpul lapan mata pada Pusingan 16 di laman sendiri kali ini.

Pelumba dari pasukan Honda Team Asia itu bangkit daripada kekecewaan ketika aksi kelayakan pada Sabtu.

Khairul Idham atau lebih dikenali dengan panggilan Super KIP  ketinggalan 13.506s daripada juara, Francesco Bagnaia (29.29.351) dari pasukan Mahindra.

Manakala di tempat kedua dikuasai pelumba Drive M7 SIC Racing Team, Jakub Kornfeil.


Aksi Khairul Idham yang menjuarai dua Grand Prix sebelum ini (Argentina dan Jerman) ternyata ditunggu-tunggu semua peminat sukan permotoran tempatan.

Aksi Moto3 ini dianggap penuh dramatik apabila menyaksikan 14 pelumba terkeluar daripada saingan apabila enam kemalangan berlaku sekaligus perlumbaan hanya berlangsung 13 lap daripada 18 lap.

"Saya bermula di kedudukan ke-20 selepas pusingan kelayakan semalam (Sabtu) yang mana ketika itu tidak ada keyakinan terhadap jentera.

"Tetapi pagi tadi (sesi pemanas badan) saya gembira semuanya kembali baik dan dapat berlumba dengan penuh keyakinan hari ini," jelasnya ketika ditemui media.

Bagaimana pun impian Khairul Idham untuk menaiki podium di hadapan penonton sendiri musnah apabila perlumbaan terpaksa dihentikan pada lap ke-13 daripada 18 lap keseluruhan selepas berlaku enam kemalangan yang menyebakan 14 pelumba terkeluar.

"Perasaan sedikit kecewa itu ada kerana ketika itu saya yakin mampu memintas beberapa pelumba di hadapan, tetapi bendera merah telah diangkat.

"Banyak kemalangan berlaku kerana mungkin keadaan litar yang basah dan sebahagiannya kering.

"Saya menamatkan saingan di tempat kelapan dan ianya adalah keputusan yang baik memandangkan pertama kali berlumba di tempat sendiri.

"Selepas ini  saya akan cuba lakukan yang terbaik memandangkan ianya adalah perlumbaan terakhir bagi musim ini (di Valencia)," jelasnya.

Selain itu, seorang lagi pelumba tempatan yang beraksi bagi Peugeot MC Saxoprint, Hafiq Azmi turut mengumpul lima mata apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-11.

Namun malang buat Adam Norrodin (rakan sepasukan Kornfeil) apabila gagal menamatkan perlumbaan gara-gara terbabit dengan kemalangan.

"Agak mengecewakan walaupun cuaca agak baik. Selekoh kedua sudah ada berlaku kemalangan. Selepas itu di Turn 6 terdapat kemalangan dan serpihan motosikal mereka telah menyebabkan kerosakan radiator yang menyebabkan saya terjatuh.

"Tetapi saya tetap meneruskan perlumbaan walaupun cedera di bahagian bahu. Namun perlumbaan berakhir apabila menyedari enjin motor saya pecah.

"Saya minta maaf kepada semua yang hadir dan akan cuba lagi pada perlumbaan akan datang," ujarnya  


Super KIP, MotoGP

Artikel Sebelum

Artikel Lain