suria

Pakistan Sekat Malaysia Ke Final

Pemain Malaysia sugul selepas kalah kepada Pakistan menerusi pukulan penalti pada peringkat separuh akhir Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Kuantan, malam Sabtu. fotoBERNAMA

KUANTAN: Malaysia gagal melangkah ke final Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas kalah 3-2 kepada juara bertahan, Pakistan melalui penentuan pukulan penalti di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam Sabtu.

Perlawanan separuh akhir itu terpaksa diputuskan dengan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan. 

Seawal babak permainan, kedua-dua pasukan dilihat begitu berhati-hati mengatur strategi dan berbalas serangan untuk mencari kelebihan gol awal.

Malaysia berada di hadapan pada minit ke-18, apabila Shahril Saabah menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti.

Pada separuh masa kedua, Pakistan bermula garang apabila meledakkan gol penyamaan melalui Abdul Khan dengan gol padang pada minit ke-34.

Malaysia dan Pakistan bagaimanapun gagal menambah jaringan meskipun sering berbalas asakan sehingga tamat waktu permainan.

Dalam penentuan pukulan penalti, tiga gol Pakistan dijaringkan oleh Abdul Khan, Muhammad Ifran Jnr dan Muhammad Arslan Qadir.

Malaysia pula menyudahkan pukulan penalti menerusi Firhan Ashari dan Faizal Saari.

Dengan keputusan itu, Pakistan akan bertemu dengan musuh tradisi India pada final esok manakala Malaysia akan menentang Korea Selatan untuk penentuan tempat ketiga dan keempat, pada hari yang sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal Benam Sunderland 4-1

Artikel Lain