suria

Michael Phelps Sudah Berkahwin Ketika Beraksi Di Rio

Jaguh renang dunia, Michael Phelps dan Nicole Johnson ketika hadir di majlis Anugerah Muzik Video MTV, di New York, 28 Ogos lalu. -fotoREUTERS
BINTANG renang sukan Olimpik, Michael Phelps telah bertanding di Olimpik Brazil baru-baru ini sebagai lelaki yang sudah berkahwin.

Phelps secara rahsia telah berkahwin dengan tunangnya, bekas Ratu Cantik California, Nicole Johnson, beberapa minggu sebelum acara itu berlangsung, menurut rekod mahkamah yang didedahkan, Khamis.


Phelps dan Johnson, kedua-duanya berusia 31, berkahwin di Paradise Valley, Arizona, pada 13 Jun, tetapi tidak mengumumkan upacara perkahwinan mereka kepada orang ramai, akhbar Arizona Republic melaporkan, memetik dokumen perkahwinan yang disiarkan akhbar itu di laman webnya.

Phelps bagaimanapun telah mendedahkan pertunangannya pada Februari 2015.

Wakil atau jurucakap Phelps tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen segera, Khamis.

Menurut akhbar itu, bekas peserta Ratu Cantik USA itu telah memuat naik gambarnya bersama Phelps dan Boomer, anak lelaki mereka berusia tiga, memakai pakaian kasual pada hari perkahwinan di Instagram dengan kapsyen: "Malam yang bersejarah bersama keluarga kecil saya."

Tidak lama selepas itu, Phelps bertanding di Olimpik Rio de Janeiro, di mana dia memenangi pingat emas ke-23, dan mungkin pingat emas Olimpik akhir dalam kariernya.

Phelps, atlet paling berjaya dalam sejarah Olimpik, mengisytiharkan bahawa Olimpik Rio akan menjadi Olimpik  terakhirnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain