suria

Tiago Direhatkan Sebulan Berikutan Prestasi Hambar Pulau Pinang

Jacksen Tiago.

GEORGE TOWN: Jurulatih Pulau Pinang kelahiran Brazil Jacksen Tiago akan direhatkan selama sebulan berikutan prestasi hambar pasukan bimbingannya.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang mengumumkan pada Rabu selepas satu mesyuarat tergempar bahawa Timbalan Presidennya Lawrence Loh telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pro pasukan manakala Tiago direhatkan daripada tugasnya berikutan persembahan buruk pasukan.

Tiago berkata beliau tidak menyedari sebarang mesyuarat tergempar pada Rabu tetapi pengurus pasukan Mohd Azizuding Shariff yang menelefon beliau kira-kira pukul 10 pagi Khamis untuk memberitahu keputusan lembaga pengarah.

"Saya percaya keputusan dibuat berikutan beberapa siri persembahan buruk pasukan dan saya menghormati keputusan lembaga pengarah untuk merehatkan saya buat waktu ini," kata beliau.

Pembantu Tiago, Manzoor Azwira bekas Kapten Pulau Pinang dilantik untuk menggantikan beliau buat masa ini.

Bagaimanapun, Tiago berkata beliau tidak akan terlibat di dalam latihan pasukan itu tetapi masih perlu melakukan analisis dan membuat laporan perlawanan selepas setiap perlawanan.

"Saya datang ke sini untuk memberikan yang terbaik tetapi malangnya yang terbaik daripada saya tidak cukup untuk membuahkan hasil. Saya akan menggunakan masa ini untuk berehat dan memikirkan penyelesaian terbaik untuk keadaan ini," katanya.

Tiago, yang merupakan bekas jurulatih Indonesia menjadi hero selepas membawa Pulau Pinang ke Liga Super pada musim ini, kini berhadapan dengan kemungkinan khidmatnya ditamatkan.

Kekalahan 1-2 kepada Sarawak Selasa lepas di tempat sendiri telah menyebabkan 200 penyokong Pulau Pinang membuat bantahan di hadapan pintu utama Stadium Bandaraya meminta Tiago meletak jawatan.

Kekalahan itu meletakkan Pulau Pinang di tangga kesembilan Liga Super dan hanya menang sekali selepas bermain enam perlawanan selain tersingkir daripada persaingan Piala FA selepas tewas kepada Kuantan FA dalam pusingan pertama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Lain