suria

Moyes Luah Kekecewaan Selepas Dipecat Real Sociedad

DAVID Moyes melahirkan rasa kecewanya seminggu selepas dipecat Real Sociedad.


Jelas Moyes, dia yakin untuk membawa kelab itu menamatkan saingan La Liga musim ini di kedudukan yang kukuh.

Bekas pengendali Manchester United dan Everton ini mempertaruhkan kariernya di Sepanyol, namun berakhir apabila Sociedad menamatkan kontraknya selepas tewas kepada Las Palmas sekaligus menyaksikan skuad itu menghampiri kedudukan penyingkiran.

Posisi Moyes,52, digantikan dengan bekas pengurus Celtic Vigo dan skuad Barcelona B, Eusebio Sacristan.

Moyes yang turut dipecat United pada April 2014 membuat kenyataan terbuka buat pertama kali sejak dipecat minggu lalu, mengakui kecewa apabila tidak berpeluang menghabiskan kontraknya yang berakhir musim ini.

Jelasnya lagi, dia telah menolak banyak tawaran beberapa bulan ini tanpa mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

“Apabila saya menerima tugas sebagai pengurus di La Real November lalu, fokus saya adalah untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran, dan kekal dalam status La Liga,” jelas Moyes dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengurus-Pengurus Liga (LMA) pada Selasa.

“Kami berjaya mengekalkan sasaran dan menamatkan saingan di tangga ke-12 musim lalu.

“Saya yakin kami telah melakukan perkara yang sama seperti musim lalu. Walaupun menunjukkan prestasi yang positif, keputusan yang dicapai tidak berjalan lancar sejak akhir-akhir ini.

“Bagaimanapun saya yakin skuad akan menamatkan saingan liga musim di tempat yang selesa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Moyes turut mengakui berdepan dengan risiko apabila bersetuju menerima tawaran di kelab Sepanyol kerana pengalaman yang terhad dalam La Liga serta tiada kelebihan bercakap dalam bahasa negara itu.

Malah Moyes turut dikritik tidak berusaha untuk belajar bahasa Sepanyol.

Selain itu, Moyes merasakan dia telah mencuba sesuatu yang baharu apabila bekerja di luar England.

“Selepas 12 tahun mengendalikan pasukan di Liga Perdana Inggeris, di Everton dan United, saya telah menunjukkan sesuatu yang berlainan dengan menerima peluang bekerja di luar negara dan mempelajari sesuatu yang bernilai daripada pengalaman itu,” tambahnya.

David Moyes, Real Sociedad

Artikel Lain