suria

Sukan SEA: KBS Pantau Skuad Bola Sepak Bawah 23 Tahun

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tiga, kiri) melakukan kayuhan sempena Majlis Pelancaran Fit Malaysia Selangor, Ahad.

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau dan memberi perhatian kepada skuad bola sepak bawah 23 tahun negara bagi merebut ibu segala pingat pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KBS akan memberi peruntukan dari semasa ke semasa kepada skuad bola sepak berkenaan sebagai persediaan rapi menghadapi Sukan SEA nanti.

"Kita (KBS) akan memberikan tumpuan kepada pasukan bawah 23 tahun untuk menghadapi Sukan SEA akan datang di Kuala Lumpur. Saya sering kali menyebut kita perlu melabur untuk masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program Fit Malaysia 2015 di Dataran Petaling Jaya di sini, Ahad.

Bagaimanapun, katanya sekiranya skuad negara gagal meraih emas, ia tidak mencerminkan kegagalan keseluruhan kontinjen negara dalam temasya sukan berkenaan.

"Kalau kita kata tidak ada makna sekiranya ibu segala pingat iaitu dalam bola sepak di Sukan SEA tidak tercapai, maka kontinjen negara secara keseluruhannya adalah gagal.

"Bagi saya kenyataan itu adalah tidak adil kepada lebih 30 jenis sukan yang lain. Pandangan itu juga satu penghinaan kepada atlet yang lain seolah-olah tidak menang pingat emas dalam bola sepak maka kemenangan yang lain itu tidak bermakna," katanya.

Jelasnya semua pihak perlu menilai kejayaan kontinjen negara lebih menyeluruh kerana atlet yang lain bertungkus lumus mendapatkan kemenangan buat negara.

Dalam pada itu, Khairy berkata terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu membubarkan atau memperbaiki prestasi merosot pasukan bola sepak senior yang tewas 0-6 kepada Palestin pada aksi keenam kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jordan, pada Khamis lepas.

"KBS tidak memberikan peruntukan kepada skuad senior, saya tidak mahu masyarakat salah faham dengan peruntukan yang tinggi kepada skuad bola sepak senior, semua itu (peruntukan) adalah daripada penajaan mereka (FAM) sendiri," katanya.

Sementara itu, KBS menjangka menerima 100,000 pendaftaran sukarelawan bagi Sukan SEA akan datang, namun pihaknya memerlukan khidmat 20,000 orang sahaja.

"Saya baru sahaja lancar program sukarelawan semalam, dalam masa sejam pertama kita mendapat 1,000 pendaftaran. Saya telah maklumkan bahawa mereka yang daftar tidak semestinya diterima kerana kami mahu sukarelawan yang komited, kita akan membuat tapisan," katanya.

Program Fit Malaysia 2015 yang melabuhkan tirainya hari ini melibatkan penyertaan seramai 15,000 orang awam yang mengambil bahagian dalam aktiviti seperti larian, berbasikal, zumba dan sebagainya sejak awal pagi tadi.

Khairy berkata rakyat Malaysia kini memberikan respons yang positif terhadap pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat dan program berkenaan akan diteruskan pada tahun depan serta tumpuan diberikan di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia.-- Bernama

Artikel Lain