suria

Hoki Piala Remaja Asia 2015: Malaysia Gagal Dengan India

Pemain Malaysia meraikan jaringan gol pertama yang disempurnakan Najmi Jazlan melalui pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol China, Ao Zhiwei pada kejohanan hoki Piala Asia Remaja Lelaki ke-8 2015 di Stadium Hoki Indera Mahkota malam Ahad. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Malaysia gagal memadam memori pahit apabila kalah tipis 5-4 kepada India pada saingan kumpulan A pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2015 di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam Ahad.

Malaysia turun ke gelanggang untuk menebus kekalahan 2-1 terhadap pasukan itu pada Piala Sultan Johor bulan lepas tetapi sekali lagi pakar pukulan sudut Harmanpreet Singh menjadi duri dalam daging kepada pasukan negara.

Skuad negara turun dengan penuh semangat dan ia terbukti apabila menjaringkan gol terpantas kejohanan menerusi Shahril Saabah pada minit pertama.

Namun India tidak tersentak dengan jaringan awal itu tetapi sebaliknya bangkit daripada kejutan awal dengan menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Mandeep Singh pada minit ke-10.

Permainan pantas yang ditunjukkan anak didik Arul Selvaraj kembali meletakkan Malaysia di hadapan juga menerusi jaringan padang Shahril pada minit ke-20 untuk mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, corak permainan bertenaga yang ditunjukkan India berjaya mengubah keputusan dengan menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-40 hasil jaringan padang Gurjant Singh.

Pemain didikan Harendra Singh itu, terus menambah jaringan pada minit ke-46 dan 56 hasil penyudah dua pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Harmanpreet Singh untuk India mendahului 4-2.

Tidak cukup dengan itu, India menokok koleksi gol hasil jaringan padang Mandeep Singh pada minit ke-61.

Selang seminit kemudian, Malaysia mengurangkan defisit gol melalui jaringan padang Sufi Ismat menjadikan kedudukan 5-3.

Malaysia kemudian berjaya menambah gol keempat menerusi Shahril yang melakukan hatrik menerusi jaringan padang pada minit ke-66.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Jepun menewaskan China 2-1.
Membuka tirai jaringan pada perlawanan ialah pemain China, Su Lixing pada minit ke-12 menerusi jaringan padang.

Namun, keputusan itu berjaya disamakan oleh Jepun apabila pemainnya, Miyazaki Shunya yang meledakkan gol, juga menerusi jaringan padang pada minit ke-49.

Babak perlawanan yang kian sengit itu akhirnya berpihak kepada Jepun selepas pasukan itu berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Yamada Shota pada minit ke-52.

Artikel Lain