suria

Aigroz, Riesler Rangkul Kejuaraan Ironman Langkawi 2015

Juara Ironman Langkawi Kategori Lelaki 2015 Mike Aigroz dari Switzerland.

LANGKAWI: Peserta triatlon Switzerland, Mike Aigroz dan juara bertahan, Diana Riesler dari Jerman masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita Kejohanan Ironman Langkawi 2015 di sini, Sabtu.

Cuaca panas tidak menghalang kedua-dua peserta kategori profesional itu untuk mengharungi cabaran yang membabitkan tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8km,  berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km.

Bagi Aigroz, 37, kejayaannya di Ironman Langkawi yang juga dalam sirkit Ironman Asia Pacific lebih manis kerana dikecapinya dalam penampilan pertamanya di sini.

Beliau jelas dominan dalam kategori itu apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan lapan jam 52 minit dua saat, sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai AS$8,000 (RM35,120).

Tempat kedua dimenangi peserta Sweden, Fredrik Croneborg dengan catatan 8:52:12s dan membawa pulang wang tunai AS$4,000 (RM17,560) manakala peserta Britain, Harry Wiltshire membawa pulang AS$3,000 (RM13,170) di tempat ketiga dengan catatan 8:55:01s.

Riesler, 31, membuktikan kesungguhannnya mempertahankan gelarannya dengan catatan 9:37:06s untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$8,000.




Tempat kedua milik atlet Sepanyol, Gurutze Frades dengan catatan 9:49:09s diikuti Natascha Badmann dari Switzerland di tempat ketiga dengan catatan 9:54:07s. Seramai 885 peserta dari 53 negara bersaing pada kejohanan kali ini bagi merebut kedudukan 40 peserta terbaik bagi melayakkan diri di Kejohanan Ironman Dunia di Kona, Hawaii tahun hadapan.  


Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Major Event, Zulkefli Sharif. -Bernama

Keputusan:

Profesional lelaki: 

1. Patrick Nilsson (Switzerland) 8:52:02

2. Fredrik Croneborg (Sweden) 8:52:12

3. Harry Wiltshire (British) 8:55:01

4. Alberto Casadel (Itali), 9:00:49

5. Keito Tohara (Jepun), 9:01:19

Profesional Wanita:

1. Diana Riesler (Jerman) 9:37:06

2. Gurutze Frades (Sepanyol) 9:49:09

3. Natascha Badmann (Switzerland) 9:54:07

4. Sarah Crowley (Australia) 9:58:26

5. Saleta Castro Nogueria (Sepanyol) 10:00:23
Ironman Langkawi 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain