KUALA LUMPUR: Kegagalan pemain skuad Harimau Malaya memberi tumpuan sepenuhnya pada penghujung babak pertama perlawanan menjadi punca Malaysia tewas 0-6 kepada Palestin pada aksi keenam kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jordan, malam Khamis.
Ketua jurulatih sementara skuad berkenaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui, gol ketiga yang dijaringkan pada pemain Palestin, Ahmed Abunahia pada minit ke-45 pada aksi di Stadium Antarabangsa Amman itu jelas 'membunuh' semangat pemain skuad kebangsaan, sekaligus meletakkan mereka dalam kedudukan sukar untuk mengurangkan defisit jaringan.
Beliau menjelaskan taktikal yang digunakan oleh jurulatih Palestin, Abdal Nasser Barakat yang menerapkan corak hantaran jauh dan tinggi, ternyata memerangkap pemain skuad kebangsaan yang gagal mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.
"Sudah tentu saya tak menjangka yang kami akan tewas dengan jaringan besar lagi seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ia keputusan yang teruk," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Klip audio temubual itu turut diperoleh Bernama.Malaysia kekal menghuni tangga keempat kumpulan A dengan kutipan empat mata menerusi satu kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan.
Selepas melayan kunjungan UAE, Malaysia bakal berkunjung ke Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan A, Mac tahun depan. - BERNAMA


