suria

Piala Malaysia: Safee Sali Pastikan Rekod JDT Kekal Bersih

IPOH: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod bersih dalam saingan Piala Malaysia 2015 apabila mengalahkan Perak 2-1 pada aksi tunggal perlawanan Kumpulan B di Stadium Perak di sini, Khamis malam.


Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan, yang sudah lebih awal mengesahkan tiket suku akhir, mengumpul 15 mata maksimum selepas lima perlawanan.

Bagaimanapun, Perak gagal ke suku akhir selepas tercorot dalam kumpulan dengan tiga mata dengan kedua-dua pasukan berbaki satu perlawanan untuk melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan.

JDT, kendalian Mario Gomez, akan melayan kunjungan Sarawak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala Perak berdepan dengan ATM pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 21 November ini.

Sarawak hanya memerlukan keputusan seri pada pertemuan dengan JDT untuk mengiringi lawannya itu ke suku akhir.

Pada aksi di gelanggang sendiri, Perak melaungkan amaran awal apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Charles Chad Souza, yang menyempurnakan hantaran rakan sepasukan.

Bagaimanapun, semangat pasukan Perak terus luntur apabila pemain kebangsaan, Mohd Amri Yahyah menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-33.

Penyerang skuad negara Mohd Safee Sali memastikan rekod bersih JDT tidak tercalar apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-45.

JDT, Perak, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain