suria

Jazeman Kembali Ke Litar

Jazeman Jaafar

KUALA LUMPUR: Pemandu muda negara, Jazeman Jaafar akan kembali ke litar perlumbaan hujung minggu ini, selepas rehat panjang Siri Formula Renault 3.5 yang dihentikan seketika pada musim panas.

Pusingan keenam Siri Formula Renault 3.5 akan disambung semula dengan perlumbaan di Litar Silverstone, United Kingdom dari 4 hingga 6 September ini.

Jazeman yang mewakili Fortec Racing Team, kini menduduki tangga ketiga kejohanan dengan 90 mata.

Menurut kenyataan pasukan itu, Jazeman sudah tidak sabar untuk kembali berlumba bagi mengukuhkan peluangnya meraih gelaran keseluruhan.

"Ia sudah begitu lama sejak kali terakhir berlumba lapan minggu lalu.

Walaupun saya terus berlatih, saya langsung tidak dapat berlumba dan saya rindukan suasana itu," kata pemandu dari Program Pembangunan Bakat Petronas.

"Hujung minggu di Silverstone akan menjadi penting. Saya tidak sebaik seperti ketika di Austria dan walaupun saya berjaya dua kali berada dalam kelompok 10 terbaik, saya perlu lebih kerap menaiki podium untuk kekal bersaing merebut gelaran keseluruhan.

"Ini adalah satu cabaran untuk saya sahut. Saya benar-benar teruja untuk kembali berlumba," katanya.

Jazeman berkata dia suka dengan Litar Silverstone dan mempunyai kenangan manis di sana kerana berjaya mencatatkan beberapa keputuan yang baik.

"Saya harap dapat menggunakan pengalaman berlumba di sana untuk mendapatkan kelebihan

"Ia adalah litar yang mencabar selain cuaca di Britain yang sukar diramalkan tetapi saya bersedia memberikan yang terbaik terutama pasukan saya, Fortec, dianggap pasukan tempatan kerana berpengkalan tidak jauh dari litar itu," kata Jazeman.-- Bernama


Artikel Lain