suria

Pulau Pinang Sasar Separuh Akhir Piala Malaysia

Nazir Ariff Mushir Ariff.

GEORGE TOWN: Naib juara bola sepak Liga Perdana, Pulau Pinang mahu meneruskan aksi cemerlang mereka dengan menyasarkan separuh akhir Piala Malaysia yang bermula 11 September ini.

Skuad Harimau Kumbang itu yang akan beraksi di Liga Super musim depan bersama Kedah, berharap dapat meneruskan rentetan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir liga apabila mengharungi cabaran dalam pertandingan yang dianggap paling berprestij dalam bola sepak tempatan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, keyakinan pasukan itu semakin tinggi dan mahu ia diteruskan sewaktu kempen Piala Malaysia nanti.

Pada masa sama, katanya, Pulau Pinang turut mengharapkan tuah undian akan berpihak kepada mereka dalam majlis undian pertandingan itu yang akan dilangsungkan pada Khamis.

"Kami cukup yakin selepas berjaya layak ke Liga Super musim depan dan kini menyasarkan untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Untuk rekod, Pulau Pinang hanya mara setakat pusingan kedua dalam saingan Piala Malaysia musim lepas.

Nazir turut berkata, dua pemain negeri itu, penyerang Mohd Faiz Subri dan pemain pertahanan, Yong Kuong Yong dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Dollah Salleh.

"Kami bangga kerana persembahan kedua-dua pemain itu cukup konsisten sejak kebelakangan ini dan berharap mereka dapat memberi sumbangan kepada pasukan kebangsaan," katanya. 

Terdahulu, kejayaan skuad Harimau Kumbang layak ke Liga Super membolehkan mereka menerima ganjaran RM3 juta daripada kerajaan negeri menerusi Perbadanan

Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain