suria

Impian Cheng Hoe Bawa Kedah Ke Liga Super Tercapai

PETALING JAYA: Saingan Liga Perdana bakal melabuhkan tirainya dengan menyaksikan 12 pasukan akan berhempas pulas di padang untuk mencatat mata terakhir musim ini, pada Jumaat.

Sudah pasti tumpuan aksi kepada tiga pasukan liga teratas yang hanya mencatat perbezaan kiraan mata keseluruhan dengan nisbah yang kecil.

Pasukan Kedah kini sebelah tangan sudah menggenggam gelaran juara liga buat kali pertama selepas 2006 apabila mengumpul 45 mata keseluruhan setakat ini.

Skuad 'Helang Merah' yang dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe ini sejak musim 2014 mempamerkan peningkatan konsisten sebelum mengetuai carta kedudukan liga.

Menurut Cheng Hoe, biarpun mempunyai kelebihan tiga mata ke atas T-Team, skuadnya tidak akan mensia-siakan aksi permainan terakhir bertemu DRB-Hicom di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

"Skuad saya akan bermain seperti perlawanan sebelum ini dan memberi fokus untuk mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya meraih keputusan seri.

"Ia penting bagi memastikan kedudukan lebih selesa kerana jika sebaliknya berlaku, ia boleh menggugat rekod kami.

"Saya yakin pemain-pemain juga teruja untuk perlawanan akhir ini dan saya turut gembira kerana semua pemain berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Menyingkap kembali perjalanan sebelum berada di puncak liga, Cheng Hoe mengakui ia hasil kerjasama semua pihak.

"Pasukan saya tidak ada bintang utama. Semua pemain saling bekerjasama dan bekerja kuat serta terus memberi fokus dalam setiap perlawanan," jelasnya.

Pada Januari lalu, Cheng Hoe memberitahu mStar Online mengenai impiannnya merangkul trofi juara musim ini.

"Musim pertama mengendali skuad ini bukanlah sesuatu yang mudah dan saya gembira kerana semuanya berjalan lancar.

"Pun begitu, saya tidak akan puas hati selagi tidak membawa pasukan ini layak ke aksi Liga Super 2016.

"Dan itulah sasaran peribadi saya musim ini. Malah ia juga harapan semua pegawai persatuan dan penyokong untuk melihat kami bermain di peringkat liga yang lebih tinggi".

Selain itu, tidak ketinggalan aksi penghujung musim ini akan tertumpu kepada skuad T-Team di tangga kedua yang berkongsi 42 mata bersama Pulau Pinang.

Namun T-Team lebih bertuah dengan kelebihan 12 jaringan ke atas Pulau Pinang (37).

T-Team akan berkunjung ke Stadium Darulmakmur bertemu Kuantan FA yang kini berada di zon penyingkiran dengan  18 mata, manakala Pulau Pinang bakal menyahut cabaran UiTM FC di Stadium Hang Jebat.

Kedah FA, Tan Cheng Hoe

Artikel Lain