suria

Kejohanan Dunia FINA: Aksi Hambar Pasangan Penerjun Negara Di Rusia

Aksi Chew Yiwei dan Loh Zhiayi dalam acara 3 meter papan anjal.

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara menampilkan aksi mengecewakan pada hari kedua Kejohanan Dunia FINA ke-16 yang berlangsung di Aquatics Palace di Kazan, Rusia.

Gandingan Chew Yiwei dan Loh Zhiayi hanya sekadar menamatkan cabaran dikedudukan ke-10 dalam kalangan 15 pasangan yang beraksi dalam acara 10m platform seirama campuran setelah mengumpul 289.89 mata selepas lima pusingan terjunan pada Sabtu, demikian menurut laman sesawang rasmi kejohanan www.kazan2015.com.

Pasukan gergasi dunia dalam acara terjun, China membuat penampilan cemerlang selepas Sia Yajie dan Tai Xiaohu meraih pingat emas apabila mengumpul 350.88mata, manakala gandingan dari Kanada, Meaghan Benfeito dan Vincent Riendeau Vincent memenangi pingat perak dengan kutipan 309.66 mata.

Domonic Bedggood dan Melissa Wu dari Australia terpaksa berpuas hati untuk meraih pingat gangsa selepas mengumpul 308.22 mata.

Sementara itu, satu lagi pasangan, Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri gagal memberi saingan kepada jaguh dunia dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dengan menamatkan saingan di tempat kelapan dengan mengumpul 294.66 mata.

Terdahulu, mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 peserta terbaik dengan meraih kedudukan kesembilan untuk melangkah ke peringkat akhir.

Acara itu dimenangi juara Olimpik tiga kali, Wu Minxia yang bergandingan dengan Shi Tingmao dari China dengan kutipan 351.30 mata, diikuti Jennifer
Abel-Pamela Ware dari Kanada dengan 319.47 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasangan penerjun Australia, Samantha Mills-Esther Qin dengan 304.20 mata.

Artikel Berikut

Artikel Lain