suria

Beregu Negara Mara Ke Final Terbuka Rusia

Bergu negara bakal berdepan pasangan tuan rumah di final Terbuka Rusia pada Ahad.

DUA wakil negara mara ke final Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Rusia 2015 yang berlangsung di Dewan Sukan Olimpik di Vladivostok, Rusia.

Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, diberikan tentangan sengit oleh rakan senegara, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah sebelum menang 15-21, 21-19 dan 21-18 pada aksi separuh akhir, pada Sabtu.

Menanti mereka di final pada Ahad, adalah pilihan utama kejohanan, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov yang merupakan pasangan tuan rumah, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.org.

Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov mengalahkan pasangan India, Manu Attri dan B Sumeeth Reddy yang juga pilihan ketiga  kejohanan, menerusi kemenangan rubber-set 19-21 21-7 dan 21-16.

Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying pula tidak perlu bekerja keras berdepan beregu tuan rumah, Vitalij Durkin dan Nina Vislova pada saingan separuh akhir acara berkenaan.

Mereka menang 22-20 pada set pertama sebelum pihak lawan menarik diri pada set kedua selepas salah seorang daripadanya mengalami kecederaan.

Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dijadual menentang wakil dari Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino yang mengalahkan wakil India, Akshay Dewalkar dan Prajakta Sawant pada satu lagi saingan separuh akhir menerusi kemenangan 21-10 dan 21-18.

Perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkiffli yang diletakkan selaku 'pilihan keempat, bagaimanapun kalah mengejut 12-21 dan 20-22 kepada wakil Estonia, Raul Must pada aksi separuh akhir acara tersebut.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan bertaraf GP Emas itu, yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$50,000 (RM191,164). - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain