suria

Hamidin Dilantik Pengurus Skuad Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasminya telah melantik Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya yang baharu.

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Mesyuarat Exco Kali Ke-4 Sesi 2014-2018 di FAM pada Khamis.

Hamidin yang juga Setiusaha Agung FAM berkata, pelantikan ini bagi menggantikan, Datuk Sudarsono Osman yang melepaskan jawatan itu kerana masalah kekangan masa.

Sudarsono yang juga Naib Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS)  menggalas  jawatan selaku pengurus pasukan hampir 10 bulan selepas menggantikan Datuk Subahan Kamal pada Julai 2014.

"Saya akui tugas ini berat kerana kita sedar peminat-peminat bola sepak mahu melihat pasukan negara kita berjaya. Saya berterima kasih kepada presiden, ahli-ahli exco kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan skuad negara.

"Saya bersama barisan exco dan jurulatih Dollah Salleh akan cuba yang terbaik. Walaupun sebelum ini saya bukan pengurus pasukan, tetapi saya sudah pasang iltizam untuk membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia di UAE pada tahun 2019 nanti. Itu antara sasaran kami," jelasnya ketika ditemui media.

Hamidin mengakui apa sahaja sasaran tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada pemain-pemain dan juga jurulatih.

"Ia bukan tugas individu tetapi amanah semua dan saya berjanji akan cuba menarik kembali peminat-peminat bola sepak negara, lebih-lebih kelab penyokong Ultras Malaya yang dari dulu lagi mahu lihat kita berjaya.

"Selain daripada itu, sudah tentu tumpuan saya terhadap kedudukan ranking dunia kerana tidak mahu kita terus menurun dari tangga ke-166. Usaha keras perlu dilakukan oleh pasukan.

"Saya akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bersama pegawai teknikal yang terlibat dan jurulatih bagi memilih pasukan-pasukan yang sesuai dengan pasukan kita sekaligus dapat perbaiki kedudukan ranking.

"Selain itu, Tuanku mahu saya mencari seorang pembantu dan mungkin saya akan dapatkan dua orang bagi menguruskan kebajikan dan teknikal dan dalam masa dapat memberi sokongan kepada skuad negara," jelasnya.

FAM, Harimau Malaya

Artikel Lain