suria

Karier Ancelotti Bersama Real Madrid Mungkin Berakhir Musim Depan

Ancelotti belum pasti nasibnya di Real Madrid musim depan.

JAMIE Carragher, pengulas bolasepak stesen televisyen Sky Sport dan bekas kapten pasukan Liverpool, percaya karier Carlo Ancelotti sebagai pengurus Real Madrid akan berakhir musim depan dan tempatnya mungkin akan diganti oleh pemain legenda kelab tersebut, Zinedine Zidane.

Carragher yakin Zidane yang kini menguruskan skuad B, Real Madrid Castilla mampu menguruskan skuad utama Real Madrid ini.

Skuad Ancelotti bakal menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi selepas disingkirkan Juventus pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (CL) dengan keputusan agregat 3-2 awal pagi khamis. Mereka adalah penyandang juara. 

Manakala dalam aksi La Liga, Real Madrid berada di tangga kedua, ketinggalan empat di belakang Barcelona dengan baki dua perlawanan sahaja lagi.

"Kamu tahu bagaimana perjalanan kelab ini, dan dia patut lebih tahu daripada orang lain. Tahun lalu Sergio Ramos menyelamatkan tugasnya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan.

"Itulah yang akan terjadi sekiranya kamu menjadi pengurus di Real Madrid. Dia antara salah seorang pengurus terbaik dunia, dengan memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara, namun ia tidak menjamin kedudukannya di sini tahun depan.

"Saya pasti akan ada perubahan," jelas Carragher.

Tahun lalu Ancelotti melakar rekod cemerlang dengan menjuarai Copa del Rey dan Liga Juara-Juara Eropah, tetapi presiden kelab Florentino Perez tidak akan memaafkannya jika gagal membawa pulang sebarang trofi musim ini.

Dalam pada itu, Ancelotti turut mengakui dia belum pasti sama ada nasibnya akan terjamin musim depan.

Jelas pengendali dari Itali itu, dia akan berbincang tentang masa depannya dengan kelab sebaik sahaja tamat saingan musim ini.

"Saya belum pasti. Kami masih lagi mempunyai dua perlawanan dalam tempoh 15 hari dan selepas itu saya akan berjumpa dengan wakil kelab.

"Jika bercakap mengenai masa depan pada waktu ini, ia tetap tidak dapat membantu apa-apa. 

"Kita akan cuba menutup saingan liga musim ini dengan memenangi dua baki perlawanan lagi dan selepas itulah baharu kita berbincang tentang masa depan," katanya.

Tambah Ancelotti lagi, jika Real Madrid gembira dengan apa yang telah dilakukannya sehingga hari ini, dia bersedia untuk meneruskan khidmatnya.

"Jika mereka tidak gembira, mereka perlu buat keputusan. Saya mahu terus berada di sini, tetapi saya sedia maklum apa yang boleh berlaku dalam dunia bola sepak.

"Kami tidak bernasib baik walaupun mempunyai banyak peluang mencipta kemenangan dalam perlawanan ini (menentang Juventus)," katanya.

Artikel Lain