suria

Kontrak Baharu Hamilton Bakal Dimeterai Di Monaco

LEWIS Hamilton memberi bayangan mengenai kontrak baharunya bersama Mercedes dijangka akan dimeterai sebelum aksi Grand Prix Monaco 21 Mei ini.

Kontrak baharunya itu dianggarkan bernilai 120 juta pound (RM676 juta) untuk tempoh tiga tahun.

Malah Hamilton bakal menjadi antara pelumba yang menerima gaji paling tinggi dengan pendapatan 40 juta pound setahun (RM225 juta) selain daripada Sebastian Vettel.

Juara dunia dua kali itu mendedahkan perkara tersebut selepas perlumbaan Grand Prix Sepanyol minggu lalu yang menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang Nico Rosberg.

"Saya mempunyai beberapa berita untuk kamu di Monaco nanti...," jelasnya ringkas.

Sekiranya benar kontrak baharu pelumba berusia 30 ini dilakukan di Monaco, ia akan menamatkan teka teki rundingan kedua-dua pihak sejak setahun lalu.

Proses keputusan rundingan yang mengambil masa lama ini dilakukan oleh ahli lembaga Mercedes di Stuttgart dengan pelbagai rujukan selepas agak keberatan untuk menerima permintaan Hamilton.

Selain gaji, Hamilton juga turut menuntut hak cipta gambar, trofi kejuaraan serta jentera kemenangan.

Kebiasaannya, trofi dan jentera akan disimpan di kabinet pasukan, manakala pelumba akan menerima trofi replika.

Pun begitu, kedua-dua pihak menutup mulut mengenai isi kandung kontrak yang dipersetujui itu.

Hamilton membuat rundingan sendiri dengan Mercedes , malah menyerahkan sendiri beberapa kertas permintaan kepada prinsipal pasukan Niki Lauda.

Namun juara dunia 2014 ini turut meminta bantuan daripada peguam keluarganya, Sue Thackeray bagi urusan berkaitan.

Selepas memecat pengurusnya Simon Fuller, Hamilton yang memilih untuk tinggal di negara tanpa cukai Monaco itu tidak akan berkongsi jumlah pendapatannya dengan orang lain. 

Namun hakikatnya, nilai pendapatannya itu boleh disamakan seperti 'seorang perompak yang merompak bank di Monte Carlo'.

Lewis Hamilton, kontrak baharu

Artikel Lain