suria

Anuar Manan Ketuai Pasukan TSG Ke Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan

KUALA TERENGGANU: Pelumba sensasi, Anuar Manan akan mengetuai pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) ke Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix (GP) Kebangsaan di Kota Baharu, Kelantan pada 22 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Farhan Abdul Wahab berkata pihaknya menyenaraikan enam pelumba termasuk Anuar Manan untuk membawa cabaran TSG pada kejohanan tiga hari itu.

"Sebenarnya tujuan kita menyertai kejohanan tersebut adalah bagi mengumpul seberapa banyak mata untuk memperbaiki ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)," katanya kepada Bernama, Jumaat.

Ketika ini TSG menduduki ranking ke-13 Jelajah Asia yang dikeluarkan oleh UCI pada 25 April berbanding tahun lepas berada di tangga ke-11.

Menurutnya lima lagi pelumba disenaraikan ialah Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohd Nor Umardi Rosdi, Mohd Saiful Anuar Aziz dan Mohd Amirull Fakharuddin Mazuki.

Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan di Kelantan itu dianjurkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Dalam pada itu, TSG menyenaraikan lima pelumbanya untuk mewakili negara pada Sukan SEA yang akan berlangsung di Singapura Jun ini.

Farhan berkata mereka ialah Anuar Manan, Muhamad Adiq Husainie Othman, Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Mohd Haris Salleh.-- Bernama


Anuar Manan, TSG, Farhan Abdul Wahab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain