suria

Tiga Jenis Sukan Program Road To Rio Mungkin Digugurkan - KJ

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memberi bayangan sekurang-kurangnya tiga jenis sukan dalam program Road To Rio mungkin akan digugurkan.


Beliau berkata semua pihak dan persatuan perlu realistik dengan pencapaian atlet masing-masing dan pihak kementerian hanya mahu memberi tumpuan kepada sukan prospek pingat sahaja pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

"Program Road To Rio akan dibuat semakan semula berdasarkan pencapaian atlet pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia baru-baru ini, kita kena ingat Sukan Olimpik dua tahun lagi dan bukan semua sukan boleh meraih pingat.

"Jadi saya perlu membuat pemilihan dan keutamaan adalah sukan prospek pingat sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyertai Larian Standard Chartered KL Marathon 2014 di Dataran Merdeka, Ahad.

Katanya, sebelum bermula Sukan Komanwel pada Julai lalu di Scotland dan Sukan Asia bulan lepas di Incheon, Korea Selatan, sebanyak lima sukan disenarai pendek daripada 11 jenis sukan yang terlibat dalam program Road To Rio.

Namun selepas kemerosotan beberapa jenis sukan pada Sukan Asia September lepas, Khairy berkata terdapat dua atau tiga sukan dalam senarai bahaya dan mungkin digugurkan dalam program Road To Rio.

Difahamkan sebelum ini 11 jenis sukan yang terlibat dalam Program Road To Rio ialah akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.

"Selepas Sukan Asia ada dua atau tiga sukan (program Road To Rio) dalam senarai bahaya. Ini bermakna saya tidak berapa 'impress' dengan pencapaian mereka. Saya tidak mahu beritahu sukan apa yang akan digugurkan itu lagi.

"Saya mahu dengar apa perancangan mereka (persatuan sukan), kalau mereka buat sasaran tetapi tidak berpijak pada bumi yang nyata dan rakyat juga boleh nilai, saya rasa 'maaf anda dikeluarkan daripada program'," katanya.

Mengulas lanjut peruntukan Bajet 2015 yang lebih memberi penekanan kepada pembangunan sukan serta penumpuan pada enam sukan teras, beliau berkata peruntukan bagi 20 jenis sukan lain turut tidak terlepas daripada program pembangunan.

"Peruntukan 20 jenis sukan lain tetap ada, jadi jangan risau, sukan-sukan lain masih lagi terlibat dalam proses pembangunan ini.

"Enam sukan yang disebut hanya fasa pertama sahaja. Satu perkara lagi, saya rasa bukan soal peruntukan cukup atau tidak, apa yang penting bagaimana kita guna peruntukan tersebut," kata Khairy.

Pada pembentangan bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM103 juta dalam mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan menerusi empat langkah bersepadu.

Kerajaan menekankan bahawa peruntukan itu bertujuan memastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan bermula di peringkat sekolah rendah melalui program Mengenal Pasti Bakat Malaysia.

Selain itu, kerajaan berhasrat mempertingkat mutu sukan berprestasi tinggi menerusi enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama membabitkan bola sepak, berbasikal, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga.

"Saya akan mencadangkan (memberi cadangan) kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan bagi program pengenalpastian bakat di peringkat sekolah rendah," kata Khairy.


Artikel Berikut

Artikel Lain