suria

Marcos Rojo Kata Perpindahannya Ke United Jadi Nyata

Pemain pertahanan terbaik Piala Dunia, Marcos Rojo dari Argentina kini menjadi milik Manchester United.

PEMAIN pertahanan Argentina dan Sporting Lisbon, Marcos Rojo berkata, perpindahannya ke Manchester United kini telah dimeterai dan menyifatkannya sebagai “mimpi menjadi nyata”.

Juara Liga Perdana Inggeris 20 kali itu telah menawarkan Sporting Lisbon £16 juta dan pemain tengah mereka Nani sebagai pertukaran.

Namun Nani hanya akan berpindah ke Sporting secara pinjaman selama semusim sahaja. Ini kerana pemain antarabangsa Portugal itu baru saja menandatangani lanjutan kontrak lima tahun dengan United.

Sporting tidak bersedia untuk membeli kontrak Nani buat masa ini tetapi menerusi pinjaman ini, mereka hanya perlu membayar gajinya sahaja.

“Ia adalah ibarat satu mimpi untuk menyarung jersi Manchester United dan saya berasa sangat bangga kerana berpeluang untuk bermain di bawah bimbingan Louis van Gaal,” kata Rojo dalam satu temuramah dengan stesen radio Argentina, Continental.

Menurut pemain itu lagi, sebelum ini dia pernah mendapatkan pandangan bekas pemain kelab itu, Juan Sebastián Verón berhubung budaya dan corak permainan Liga Perdana Inggeris.

"Hasilnya saya berpendapat, ia sesuai dengan cara dan bentuk permainan saya," katanya lagi.

Berhubung desas-desus yang mengatakan dia enggan berlatih bersama Sporting dalam usaha untuk mendesak kelab itu menjualnya kepada United, Rojo berkata, itu semua hanyalah salah faham.

“Sekiranya saya telah melakukan satu kesilapan saya telah pun memohon maaf kepada mereka kerana saya tidak mahu melukakan perasaan sesiapa pun apatah lagi kelab yang telah membuka laluan saya di benua Eropah,” kata pemain itu.

Rojo bakal menjadi pemain Argentina yang keempat menyarung jersi United selepas Veron, Carlos Tevez dan Gabriel Heize.

Dengan United mengalami krisis di bahagian pertahanan buat masa ini dan pemain baru Luke Shaw pula tidak akan dapat beraksi selama lebih sebulan akibat kecederaan, Rojo yang bermain menggunakan kaki kiri mungkin akan diletakkan sebagai bek kiri yang baru di bawah formasi 3-5-2 yang menjadi kegemaran van Gaal.

Pada temasya Piala Dunia di Brazil baru-baru ini, Rojo terpilih sebagai salah seorang pemain terbaik kejohanan oleh Fifa.

Artikel Berikut

Artikel Lain