suria

Sazali Idam Mr Asia, Mr Universe 2014

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad optimis mampu melakar kejayaan berganda dalam kategori 75kg pada Kejohanan Mr Asia dan Mr Universe tahun ini.

Sub-Inspektor berusia 47 tahun itu berkata, walaupun sudah memenangi gelaran Mr Asia dan Mr Universe masing-masing sebanyak lapan dan sembilan kali, beliau mengakui cabaran sentiasa sengit pada dua kejohanan berkenaan terutamanya daripada negara Asia.

Kejohanan Mr Asia 2014 bakal berlangsung di Macau, China pada Jun manakala Kejohanan Mr Universe dijadualkan di Mumbai, India, November ini.

"Saingan memang sengit sejak saya memenangi gelaran pertama (Mr Asia) pada 1996 dan saya melihat peserta dari Iran sentiasa menjadi pencabar utama saya dalam kategori yang disertai.

"Selain itu, negara seperti Iraq, Vietnam dan India juga tidak kurang hebatnya dengan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini," katanya pada Isnin.

Sazali berkata, beliau kini memberikan fokus untuk menurunkan berat badannya yang mencecah 79kg memandangkan beliau akan menyertai kategori 75kg buat kali pertama, pada dua kejohanan berkenaan.

"Insya-Allah, menerusi formula yang diterapkan oleh bekas jurulatih saya, Milos Sarcev (dari Serbia), saya berharap dapat menurunkan berat badan kepada bawah 75kg sebelum bermulanya saingan Mr Asia nanti.

"Saya turut mendapatkan nasihat mengenai corak pemakanan yang bersesuaian daripada pegawai pemakanan Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Zawawi Zakaria selain rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN) mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.

Katanya beliau turut menjalani latihan seperti biasa di gimnasium MS Ndan juga di Bukit Aman namun lebih menekankan aspek terapi diri bagi memulihkan otot dan badan supaya kekal cergas bagi menghadapi dua kejohanan berkenaan.

Sazali memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak sembilan kali 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 dan lapan kali gelaran Mr Asia bermula 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012.

Polis, Sazali Abd Samad

Artikel Berikut

Artikel Lain