suria

Kontinjen Selangor Terima Insentif Lebih Setengah Juta

SHAH ALAM: Sejumlah 338 atlet, pengurusan pasukan dan persatuan dari kontinjen Selangor menerima insentif lebih setengah juta ringgit daripada kerajaan negeri atas kejayaan memperoleh pingat dan mengharumkan nama Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Insentif disampaikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Selangor di sini petang ini.

Pada kejohanan itu kontinjen Selangor yang terdiri daripada 477 atlet, pegawai, pengurus pasukan dan jurulatih muncul juara keseluruhan menyingkirkan juara bertahan Terengganu selepas meraih 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa.

Kejayaan itu adalah yang kelapan buat Selangor selepas kali terakhir muncul juara keseluruhan pada edisi ke-11 di Kedah pada 2006.

Anugerah olahragawan Sukma ke-16 turut dimenangi atlet gimnastik artistik dari Selangor, Daniel Iskandar Richard yang meraih tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan kekuda berpelana lelaki serta dua perak daripada acara melombol dan palang tunggal.

Pada majlis itu seramai 198 atlet menerima insentif berjumlah RM451,000, manakala 70 pengurusan sukan menerima insentif berjumlah RM50,750 dan 70 persatuan menerima insentif berjumlah RM50,750.

Setiap atlet yang memenangi emas menerima insentif berjumlah RM3,500, RM2,000 diberikan kepada pemenang perak manakala pemenang gangsa menerima RM1,000 sementara pengurusan sukan dan persatuan masing menerima RM1,000 bagi pingat emas, RM750 bagi perak dan RM500 bagi gangsa.

Abdul Khalid berkata pemberian insentif itu diharap akan memberi motivasi dan galakan kepada kontinjen Selangor untuk mengekalkan kejuaraan pada Sukma ke-17 yang akan diadakan di Perlis pada tahun depan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah peruntukan sedia ada yang diberikan setiap tahun sebanyak RM5 juta jika kontinjen Selangor memerlukan penambahan peralatan dan infrastruktur. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain