suria

Sukma-16: WP Juara Keseluruhan Lawan Pedang

KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan mengatasi Johor dengan perbezaan sebutir emas pada hari terakhir acara lawan pedang di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di sini Isnin.

Skuad Wilayah Persekutuan meraih lima pingat emas pada temasya kali ini berbanding dua pingat emas pada edisi lepas.

Penolong pengurus pasukan, Nong Thien Boon berkata pencapaian pungutan pingat pada kali ini melebihi jumlah sasaran dua emas.

"Pencapaian kali ini di luar jangkaan," katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Nong berkata kebanyakan daripada atlet lawan pedang kontinjen itu adalah atlet baharu, namun mereka mampu menunjukkan satu prestasi yang membanggakan.

Beliau berharap atlet berbakat ini dapat menonjol lebih cemerlang pada masa depan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di persada antarabangsa.

"Saya harap salah seorang daripada mereka boleh mencipta nama dipersada dunia dan saya juga harap dapat mengekalkan pencapaian ini pada edisi Sukma 2014 di Perlis," katanya.

Lima pingat emas yang diraih skuad Wilayah Persekutuan adalah melalui acara Foil Individu Lelaki, Sabre Individu Lelaki, Foil Berpasukan Lelaki, Foil Berpasukan Wanita dan Sabre Berpasukan Lelaki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain