suria

Sukan Olimpik: Faktor Pemakanan Dan Cuaca Bukan Penghalang Atlet Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengambilan jenis makanan yang ditetapkan dan perbezaan cuaca bukan penghalang buat atlet negara untuk menggalas cabaran pada temasya Olimpik London yang akan bermula Jumaat ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata atlet negara yang akan memulakan misi meraih pingat di Olimpik seharusnya telah membuat persediaan mental yang mencukupi terutama apabila perlu beraksi pada bulan Ramadan ini.

"Mereka (atlet) sudah sedia maklum dengan jadual pengambilan pemakanan yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN). Yang penting adalah pemakanan yang berzat bukan makanan yang sedap.

"Ini penting terutama bila bersaing pada bulan puasa, itu menjadi keutamaan, kekuatan mental perlu untuk mengawal pemakanan," katanya.

Ahmad Shabery berkata semua atlet yang dipilih untuk mengalas cabaran di temasya Olimpik kali ini, berpengalaman bertanding di peringkat antarabangsa dan pasti cabaran dalam pengambilan pemakanan dengan perbezaan cuaca itu adalah sebahagian daripada keupayaan atlet negara.

"Saya rasa semua atlet kita sudah mendapat pelbagai pendedahan, bersaing dan bertanding di luar negara. Soal cuaca dan makanan itu adalah sebahagian daripada keupayaan atlet kita dan mereka juga pernah hadapi keadaan sebegitu dulu," katanya.

Seramai 30 orang atlet akan menggalas cabaran negara dalam sembilan acara pada temasya Sukan Olimpik, London bermula Jumaat ini sehingga 12 Ogos.

Daripada jumlah itu, 10 adalah atlet Islam iaitu Azizulhasni Awang, Muhammad Adiq Husainie, Fatehah Mustapha, Amir Rusli Mustafa(Berbasikal); Nurul Shafiqah Hashim, Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad (Memanah); Khairulnizam Mohd Afendy (Perahu Layar); Nur Suryani Mohd Taibi (Menembak) dan Noraseela Khalid (Olahraga). -BERNAMA

Artikel Lain