suria

Pelayar Diberi Pelepasan Wakili Negeri Pada Sukma

LANGKAWI: Seramai 15 pelayar yang sedang menjalani latihan di sini diberi pelepasan untuk mewakili negeri masing-masing pada Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang yang bermula bulan depan.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata mereka diberi pelepasan mulai Khamis ini sehingga berakhirnya Sukma.

Sukma 2012 bermula dari 2 hingga 14 Julai depan.

"Kebanyakan pelayar berkenaan mewakili Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kedah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Para pelayar tersebut yang terdiri daripada skuad elit dan pelapis kebangsaan sedang menjalani latihan pusat di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan.

Mohd Afendy berkata selepas Sukma, mereka perlu kembali untuk meneruskan latihan. Sementara itu pelayar elit Khairulnizam Mohd Afendy dilaporkan sedang menjalani latihan di London bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik di sana. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain