suria

AFC, FIFA Wujud Jawatankuasa Tangani Rasuah Bola Sepak Di Asia

SEREMBAN: Bagi menangani rasuah bola sepak di Asia, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bekerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.

Setiausaha Agung AFC Datuk Alex Soosay berkata jawatankuasa yang berpangkalan di Bangkok, Thailand itu ditubuhkan dua bulan lepas dan akan melihat segala isu berkaitan rasuah bola sepak termasuk mengatur perlawanan.

"Kini terdapat 46 buah negara yang bergabung dengan AFC dan semua 46 negara ini akan diberi perhatian dari segi rasuah dan mengatur perlawanan," katanya kepada Bernama, di sini Selasa.

Katanya jawatankuasa itu dianggotai pelbagai pihak penguatkuasa termasuk dari Federal Bureau of Investigation (FBI) dan Central Bureau of Investigation (CBI).

"Semua mereka yang terlibat ini akan memantau perlawanan serta aktiviti lain yang dilihat luar biasa. Saya fikir ini satu amaran keras kepada semua negara di Asia supaya jangan terlibat dengan rasuah bola sepak.

"AFC dan FIFA mengambil perhatian berat mengenai rasuah bola sepak kerana ia adalah satu isu yang dianggap kritikal dan perlu ditangani dengan serius," katanya.

Beliau sebelum itu menerima plak penghargaan sebagai bekas pemain dan jurulatih Negeri Sembilan era 80-an dan 90-an yang disampaikan Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain