suria

Sukan Sea: Mun Yee Raih Emas Pertama Acara Terjun

PALEMBANG: Sukan terjun menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA ke-26 di sini apabila gandingan Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee meraih pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama, Ahad.

Pada aksi di Pusat Akuatik Jakabaring di sini, gandingan penerjun negara itu memperolehi 296.10 mata, diikuti pemenang pingat perak, Natalie Dinda dan Dewi Setyaningsih dari Indonesia dengan mengumpul 250.2o mata.

Gandingan Filipina Sheila Mae perez dan Ceseil Domensio merangkul pingat gangsa dengan 243.12 mata.

"Saya fikir tahap kesukaran kami adalah tinggi berbanding peserta lawan dan kerjasama kami telah meningkat," kata Mun Yee, yang berganding dengan Yan Yee selepas Sukan SEA Laos pada 2009.

Di Laos, Mun Yee meraih emas acara itu apabila berpasangan dengan Cheong Jun Hong.

Bagi Yan Yee, 19, persembahannya telah banyak meningkat sejak membuat penampilan sulung pada edisi lepas di Laos.

"Prestasi saya bertambah lebih baik sejak Sukan SEA lalu dan beberapa kejohanan lain pada tahun ini. Misi seterusnya untuk menang pingat pada acara individu," kata Yan Yee, yang pertama kali akan beraksi pada acara 3 meter papan anjal individu.

"Pada mulanya, saya adalah seorang atlet gimnastik berirama tetapi bakat saya dalam acara terjun dikesan oleh jurulatih Yang Zhuliang yang mempelawa saya menceburi sukan itu.

"Jurulatih itu memberitahu bahawa saya memiliki tubuh badan yang sesuai untuk acara terjun," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain