suria

Crane Mahu Pertahan Gelaran CIMB Asia Pacific Classic Malaysia

SINGAPURA: Juara bertahan Ben Crane yakin mampu meranapkan impian semua pemain apabila kembali beraksi di The Mines Resort & Golf Club di Kuala Lumpur minggu depan untuk mempertahankan gelaran CIMB Asia-Pacific Classic Malaysia.

Crane mempamerkan permainan hebat untuk mendahului dengan lapan pukulan untuk menjuarai McGladrey Classic di Seaside Golf Club di Sea Island, Georgia bagi menjulang gelaran PGA TOUR buat kali keempat.

Crane dan isterinya bakal menimang cahaya mata ketiga mereka minggu ini sekaligus menjadikan kemenangan itu amat bermakna buat pasangan itu.

Terkenal dengan ketelitian dalam melakukan setiap pukulan pada jelajah itu, Crane turut mensasarkan untuk mempertahankan gelaran CIMB Asia-Pacific Classic Malaysia apabila edisi kedua kejohanan itu berlangsung dari 27 hingga 30 Okt.

Bercakap mengenai hasratnya untuk mempertahankan gelaran itu, Crane berkata beliau memang menantikan saat untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur.

"Kami berasa amat seronok dalam kunjungan kami di Kuala Lumpur tahun lepas dan ditambah pula dengan kejayaan menjulang gelaran CIMB Asia-Pacific Classic Malaysia. Saya tidak sabar untuk kembali semula dan mempertahankan gelaran pasti hebat pada kali ini," katanya.

Beliau menambah:"Saya suka dengan hospitaliti penduduknya. Mempelajari mengenai kebudayaan lain amat menyeronokkan. Saya juga suka dengan kegembiraan dan cara kehidupan orang lain yang saya temui dalam kejohanan ini.

"Sikap terbuka mereka yang membicarakan mengenai kehidupan dan kenapa mereka melakukannya dan semua orang amat teruja mengenai kejohanan ini dan suasananya amat meriah. Saya selalu teringat dengan cara orang Malaysia meletakkan tangan mereka di dada dan tunduk dengan hati yang ikhlas."

Beliau dikenali sebagai seorang yang suka berjenaka dan turut terkenal dengan video lucunya di YouTube. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fujiwara Juara Supersports 600c

Artikel Lain